MUNGKIN puas juga artis serba boleh, Amy Mastura diasak dengan pertanyaan mengenai wajahnya awet mudanya.
Iyalah, memang tidak dinafikan, wajah pelakon, penyanyi dan pengacara ini ibarat tidak dimakan usia lebih-lebih ketika usianya yang kini mencecah 53 tahun.
Dalam netizen melayangkan pujian , ada juga yang membuat pelbagai andaian mengaitkan kecantikan Amy pada usia awal 50-an dengan prosedur kosmetik moden dan sebagainya.
Namun, ibu kepada dua cahaya mata ini bersikap positif dengan apa sahaja telahan umum tentang wajah awet mudanya.
“Alhamdulillah, buat masa ini, belum muncul lagi godaan atau ajakan untuk melakukan pembedahan kosmetik atau pun suntikan botoks dan sebagainya.
“Saya pun sudah berusia. Tambah pula, teknologi sekarang sudah ke depan. Solekan moden boleh buat kita kelihatan muda, begitu juga filter di media sosial.
“Pokok pangkal, botoks atau apa sahaja kaedah kosmetik ekstrim, tidaklah. Mungkin satu sahaja saya nak cakap, amalkan senyuman,” kongsinya.
Amy atau nama sebenarnya, Amy Mastura Suhaimi ditemui pada forum dan sidang media drama Berbahagi Suami baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, kata Amy, dia juga amat jarang mengawal dan menjaga pemakanan. Katanya, sehingga ke hari ini, dia bersederhana ketika makan dan tidak cerewet soal itu.
“Saya tak cerewet pasal makan. Tak adalah terlalu mengawal. Kadang kala, adalah. Bila rasa berat sudah bertambah, saya kawallah makan.
“Tapi tidaklah keterlaluan sampai menu diet itu hanya ada sayur dan protein sahaja. Saya bukan begitu orangnya,” jelasnya.
Amy, dalam pada itu, bersyukur kerana diberikan tubuh badan sihat pada usia 53. Katanya, itu nikmat yang paling berharga buat masa ini.
“Seperti kebanyakan manusia lain, saya juga mengalami proses penuaan itu. Tahap penglihatan semakin berkurangan, badan ada masanya terasa lenguh.
“Tapi saya bersyukur, setakat ini, penyakit tiga serangkai itu belum berlaku kepada saya. Saya tak berani kata tak ada, sebab kita pun tak tahu ketentuan Allah. Apa pun setakat ini, Alhamdulillah,” kongsinya.
KETENTUAN ALLAH
TERPANGGIL kami untuk mendapatkan pendangan Amy mengenai isu perceraian yang semakin berleluasa kini.
Berjaya mempertahankan perkahwinan selama 24 tahun, Amy menganggap isu suami berpayung emas sebagai ketentuan Allah yang diselimuti hikmah.
“Setiap perkara yang berlaku ada sebabnya. Kalau rumah tangga bermasalah, dapatkan nasihat pakar, sekiranya pasangan mahu pertahankan perkahwinan mereka.
“Saya tak boleh komen lebih, sebab semua ini atas ketentuan Allah. Apa pun, sebaiknya jangan kita labelkan isteri kedua itu penyondol atau apa.
“Walaupun jawapan saya ini agak klise, tapi inilah hakikatnya,” jelasnya.-UTUSAN