PUTRAJAYA: Fokus Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini tertumpu kepada lima atau enam siri hujan lebat yang dijangka berlaku pada penghujung Disember ini ekoran Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, arahan telah dikeluarkan kepada pegawai dan anggota di peringkat operasi agar tumpuan utama diberikan khususnya di lokasi-lokasi yang pernah berlaku bencana seperti banjir besar dan tanah runtuh sebelum ini.
“Berdasarkan rekod lama kita, saya ambil kira apabila berlakunya insiden di Sri Muda, Kemaman dan Kuala Krai.
“Semua episod hujan ini berlaku (pada) 18 haribulan. Kalau tengok (insiden) Batang Kali pada dua tahun lepas (juga) berlaku pada 18 Disember. Jadi, berdasarkan ‘track record’ ini kita telah beri penegasan pada peringkat operasi supaya jangan selesa dan sentiasa bersedia untuk siri seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nor Hisham berkata, sejak 5 November sehingga semalam, JBPM telah melaksanakan sebanyak 2,510 operasi pemantauan di kawasan panas banjir, 653 operasi pemindahan dan 4,978 urusan pemindahan mangsa banjir.
Jelas beliau, secara keseluruhan seramai 7,632 anggota telah digerakkan dalam operasi banjir yang membabitkan seramai 5,618 pegawai sepenuh masa, selain 1,990 anggota pasukan bomba bantuan dan 24 anggota pasukan bomba sukarela.
“Secara harian kita ada seramai 824 anggota bertugas, tapi untuk keseluruhan kita dah gerakkan 7,632 anggota untuk menangani pelbagai insiden berkaitan MTL.
“Tiga insiden utama (yang diberi perhatian) adalah penyelamatan dan mengeluarkan mangsa, kejadian pokok tumbang dan berkaitan tanah runtuh,” ujarnya.
Menurut Nor Hisham, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh anggota pada musim banjir kali ini adalah berdepan dengan situasi jalan putus di kebanyakan lokasi dan menjalankan operasi penyelamatan pada waktu malam.
“Saya dah turun dua hari berturut-turut, semangat semua anggota penyelamat masih berada dalam tahap yang begitu tinggi untuk membantu. Kita sama-sama pastikan semua mereka selamat ketika menjalankan tugas,” katanya.
Selain itu, Nor Hisham berkata, JBPM turut menjalankan khidmat kemasyarakatan dengan menghantar seramai 502 pelajar ke asrama di sekitar Kelantan, selain bertindak membawa 22 guru ke bilik kebal bagi mengambil soalan peperiksaan. – Utusan