GEORGE TOWN : Seekor anak kucing berdepan detik-detik mencemaskan apabila terperangkap dalam satu saluran paip di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang, petang semalam.
Bagaimanapun, haiwan itu bernasib baik apabila diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru sebaik sahaja menerima info mengenai kejadian itu, kira-kira pukul 3 petang.
Seorang jurucakap bomba memberitahu, sebaik sahaja tiba di lokasi, anak kucing itu didapati masih berada dalam paip saliran keluar air di atas jambatan tersebut.
Katanya, kerja-kerja menyelamat dijalankan dengan cara menurunkan anggota yang terlibat melalui kaedah ‘rappelling’ atau mengawal penurunan secara menegak pada bahagian sisi tepi bawah pembahagi jambatan disebabkan ruang yang terhad.
“Selain itu, bomba juga terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong paip PVC terbabit bagi membolehkan anak kucing tersebut dikeluarkan dengan selamat,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, anak kucing itu akhirnya berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan. – UTUSAN