BN perlu lepaskan ego kepartian - Ahmad Zahid

BN perlu lepaskan ego kepartian – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika acara pelepasan bagi Misi Sukarelawan Pasca Banjir Puteri Barisan Nasional di Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pimpinan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya melepaskan ego kepartian demi mencapai matlamat lebih besar iaitu kepentingan politik negara sekali gus diterima seluruh peringkat kumpulan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mesti bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politiknya dan melihat dari sudut pandang lebih luas.

“Sebagai contoh, jika kita nak berbicara tentang pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Namun, realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik. Jika dikaji, setiap daripada parti-parti teras pernah mengenepikan ego masing-masing, ketika penubuhan BN sendiri.

“UMNO ketepikan ego untuk bekerjasama dengan Pas, begitu juga MCA, walaupun seteru, pernah bersama Gerakan dan MIC pula bersama MyPPP,” katanya dalam ucaptama pada Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN juga perlu bijak mengurus keutamaan iaitu kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat walaupun terdapat keinginan untuk kembali menjadi parti yang dominan.

Katanya, pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan ini adalah pengorbanan besar, tetapi ia juga peluang untuk BN membuktikan sebagai komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab.

“Menangguhkan keinginan bukan bermaksud melupakan, tetapi memberi laluan kepada agenda yang lebih besar dan bila pengorbanan ini dirasai rakyat, maka BN akan kembali dominan seperti yang kita semua harapkan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat tiga kerangka untuk BN bergerak ke hadapan iaitu penjenamaan semula yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa melalui pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif.

Kerangka kedua pula adalah mentakrifkan semula kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan BN selain menyusun semula serta memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN membuktikan gabungan itu bukanlah ‘parti bermusim’ tetapi sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat terutama dalam membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir ketika ini.

Kata beliau, pihaknya menggerakkan misi bantuan kepada mangsa-mangsa terjejas di Kelantan, Terengganu dan Kedah melibatkan 400 sukarelawan daripada parti itu.

Misi Bantuan Banjir Barisan Nasional ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan parti untuk meringankan beban mangsa bencana itu, serta memastikan bantuan sampai ke tangan yang memerlukan dengan cepat dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya