HULU TERENGGANU: Empat sekeluarga terpaksa menumpang bilik air dan tandas masjid selepas kemudahan itu di rumah mereka runtuh akibat dihentam arus deras banjir di Kampung Lubuk Periuk, dekat sini, 30 November lalu.
Salida Rahman, 47, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semasa dia berada di Hospital Hulu Terengganu (HHT) kerana menjaga suaminya, Shaharuddin Kuin @ Kalsi Kuin, 55, yang kurang sihat.
Katanya, air mula naik sekitar pukul 8 pagi dan dia sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejam kemudian kecuali anak sulungnya, Muhammad Syawal Haikal, 24.
“Saya dapat kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Muhammad Syawal memaklumkan bilik air dan tandas rumah kami runtuh. Arus ketika itu sangat laju, paras air pula kira-kira 1.5 meter. Saya reda dengan kejadian ini. Perkara paling utama pada waktu ini adalah kesihatan suami yang terpaksa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu ketika berada di PPS.
“Suami saya yang menghidap masalah injap jantung tersumbat tiba-tiba berasa sakit dada dan sesak nafas. Syukur, suami telah dibenarkan pulang pada Selasa lalu. Buat masa ini, kami sekeluarga terpaksa menggunakan kemudahan bilik air dan tandas Masjid Kampung Lubuk Periuk yang terletak berdekatan kerana tiada pilihan lain,” katanya.
Menurut Salida, rumahnya saban tahun dilanda banjir dan menjadi antara penduduk yang terawal berpindah manakala kejadian tandas dan bilik air roboh kali pertama terjadi sejak dibina lebih 10 tahun lalu. – UTUSAN