KOTA KINABALU: Walau terpaksa menahan sakit akibat rawatan kanser ovari semasa berada di tahun keempat pengajian namun, ia tidak mematahkan semangat Shamsulmezah Shamsul, 24, tampil sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26.
Kecekalan graduan Ijazah Sarjana Muda Perhutanan Tropika Antarabangsa meneruskan pengajian dikala bertarung melawan kanser ovari peringkat awal membolehkannya kini tersenyum apabila kanser dihadapi berjaya dirawat.
Berkongsi mengenai kesukaran belajar sambil menerima rawatan kemoterapi, graduan yang berasal dari Tamparuli itu mengakui hampir putus asa, namun hasil sokongan ibu bapa dan pensyarah, membantunya menamatkan pengajian dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.77.
“Saya selalu belajar dari rumah kerana kesan sampingan kemoterapi membuatkan saya mudah letih dan sukar untuk menghadiri kelas secara fizikal. Melihat keluarga dan ibu tidak berhenti memberi sokongan termasuk menemani saya menyiapkan tesis dan ke hospital, saya tahu yang saya perlu berusaha mengulang kaji pelajaran dengan lebih tekun sebagai membalas jasa orang yang saya sayangi,” katanya yang disahkan menghidap kanser Ogos tahun lalu.
Selain mengakul Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, Shamsulmezah turut unggul sebagai Penerima Anugerah Kelestarian Perhutanan dalam satu acara ringkas selepas sidang enam Majlis Konvokesyen UMS ke-26, yang disaksikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.
Mengenai perancangan, Shamsulmezah berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang entomologi bagi membolehkannya menjalankan penyelidikan terhadap serangga sebagai sumbangan sektor perhutanan dan pemuliharaan biodiversiti di negara ini. – UTUSAN