PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, berjanji akan terus kuat menuntut keadilan untuk suaminya.
Afreena berkata, ujian pertuduhan ganja yang dihadapi suami telah menyebabkannya berdepan masalah keresahan.
“Sudah tentu saya akan penat dengan situasi yang berlaku ketika ini, tetapi saya perlu kuat untuk anak-anak.
“Apa yang jadi sekali pun, saya perlu menjalani situasi ini,” katanya kepada media.
Tambahnya lagi, sebagai isteri, dia turut mendoakan agar suaminya akan terus kuat menghadapi ujian ini.
“Untuk kes ini saya cuma mahu semua orang tahu, Along Cham atau Muhammad Nizamudin Ahmad tetap suami saya. Saya akan sentiasa dengannya dalam apa jua keadaan.
“Saya akan berjuang dengan dia dan akan mempertahankan hak dia. Tiada isteri yang nak lihat suami dia jatuh dan dalam kesakitan.
“Biy (Along), saya tahu perasaan kamu saat berada di dalam. Bertahanlah, saya berjanji awak akan keluar dan kita akan hidup bahagia bersama,” katanya dalam nada sedih.
Sementara itu, peguam mewakili Along iaitu Mohd Fadly Hashim menyifatkan anak guamnya sebagai seorang yang kuat dan akan membantu mengendalikan kes berkenaan.
“Dia (Along) seorang yang kuat dan saya akan cuba sedaya upaya untuk bantu dia kendalikan kes ini,” katanya.
Pagi tadi, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan di sini, masing-masing membabitkan ganja seberat 58.23 gram dan 2.07 gram
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan. -UTUSAN