“KALAU sesebuah drama perlukan adegan panas keterlaluan, ia bukanlah cerita yang baik,”
Demikian pendapat pelakon, Hisyam Hamid, yang tidak bersetuju naskhah drama tempatan perlu mengikui gaya pengkarya luar negara dengan adegan panas di ranjang atau separuh telanjang yang menggairahkan.
Bagi Hisyam atau Hazmi Hisyam Abdull Hamid, 39, dia menghormati pendapat mana-mana pengkarya yang mahu mengangkat adegan begitu di dalam naskhah jika itu adalah tarikan utama sesebuah drama.
Namun baginya, cerita yang baik tidak memerlukan adegan panas yang keterlaluan kerana ia dengan sendiri boleh menyentuh dan akan terjual dengan sendirinya.
“Pada saya kita tidak perlu bandingkan drama kita dengan naskhah Indonesia yang lebih berani dengan babak yang boleh membeliakkan mata.
“Banyak drama telah kita buktikan bahawa tanpa adegan begitupun cerita kita tetap sampai kepada penonton.
“Melainkan kalau itu yang anda mahu jual. Tapi drama yang bagus tidak perlu adegan panas keterlaluan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai itu, Hisyam yang kini digelar duda terhangat di Malaysia mengakui pernah menerima tawaran yang memintanya berseluar pendek dan tidak berbaju.
Bagaimanapun, pelakon Andai Tiada Dia itu kukuh berpegang kepada prinsip tidak mahu terlibat dalam adegan sebegitu.
“Kalau ikut skrip asal ada banyak adegan panas tapi saya secara peribadi ada letak had sejauh mana saya boleh buat. Saya tidak akan berseluar pendek atau buka baju.
“Saya bincang dengan pengarah dan dia juga bersepakat bahawa kita tidak perlu keterlaluan. Kami kemudian berbincang dengan pihak produksi dan hanya bermain dengan teknik kamera sahaja untuk tunjuk sesuatu adegan.
“Jika mereka mahukan seseorang yang boleh lakonkan aksi panas, mungkin saya bukan orangnya.
“Mungkin waktu saya muda dan masih baru dalam industri hiburan 11 tahun lalu. Memang saya lakonkan sebab takut mahu bangkang cakap pengarah. Sekarang saya sudah tahu hak sebagai pelakon dan produksi juga lebih terbuka,” tambahnya.
Malu anak tengok
Dikurniakan dua orang anak yang masih membesar iaitu Nurish Syameliah dan Haydeen. Pelakon asal Singapura itu berjaga-jaga dalam memilih watak kerana tidak mahu meninggalkan imej buruk kepada anaknya.
“Sebenarnya apa yang saya buat iaitu tidak mahu terlibat adegan ranjang bukan hanya mahu beri contoh yang baik kepada masyarakat.
“Tapi apa yang lebih penting ialah bagaimana saya mahu jadi contoh yang baik kepada anak-anak. Mereka akan menjadi orang pertama yang tengok perkembangan kerjaya saya.
“Jadi setiap pilihan dan keputusan yang dibuat, memang saya utamakan mereka,” katanya.