KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Nordiana meluahkan rasa teruja apabila sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan rakan industri seninya, Tomok menerusi persembahan istimewa yang bakal dipentaskan sempena pelayaran dua malam kapal persiaran Genting Dream pada 19 hingga 21 Januari depan.
Kata Nana, meskipun bukan kali pertama membuat persembahan di atas kapal persiaran, dia tidak sabar untuk menghiburkan menerusi rangkaian lagu-lagu hitsnya termasuk lagu duet dengan Tomok sempena showcase itu nanti.
“Konsep persembahan masih dalam peringkat perbincangan buat masa ini. Tapi kami akan telitikan selepas Tomok selesai dengan program Famili Duo yang berakhir Ahad ini.
“Lagi duet kami antara yang akan kami nyanyikan seperti Memori Mungkin Berulang selain lagu-lagu hits masing-masing.
“Persembahan kali ini mencabar kerana ia berlangsung selama satu jam. Tapi saya dan Tomok akan pastikan showcase itu padat dengan banyak lagu agar penonton berpuas hati,” kongsinya.
Nana juga berkongsi rasa gembira kerana akhirnya berpeluang membuat persembahan dalam panggung terkemuka, Zodiac Theatre yang memuatkan 999 penonton.
“Ini bukan pertama kali saya menyanyi di atas kapal persiaran. Tapi kali ini berbeza kerana berpeluang membuat persembahan dalam panggung terkemuka itu.
“Saya pasti pengalaman kali ini lebih berbeza kerana pengunjung panggung itu, selain orang Melayu, ramai juga pelancong antarabangsa
“Disebabkan itu saya dan Tomok kena pastikan selain berbahasa Melayu, kami juga perlu berkomunikasi dengan audiens dalam Bahasa Inggeris,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, penyanyi yang mesra disapa sebagai Nana itu juga menyifatkan showcase sempena program Live Music @ Sea itu sebagai peluang untuk menonjolkan bakat kepada audiens antarabangsa.
“Sebenarnya itu salah satu kelebihan yang saya dan Tomok akan dapat kerana kami difahamkan selain ramai peminat Singapura, persembahan itu nanti mungkin dihadiri penonton dari negara lain.
“Lebih menyeronokkan lagi apabila saya dan Tomok berpeluang menyantuni pengunjung menerusi sesi meet and greet yang akan dilaksanakan selepas showcase itu nanti,” jelasnya.
Selain menonton persembahan dua artis popular itu pada malam 20 Januari depan, pengunjung juga berpeluang menonton persembahan antarabangsa dan tayangan filem.
Pada masa yang sama, pengunjung beragama Islam juga berpeluang menikmati sajian pelbagai makanan yang disahkan halal di The Lido, selain mencuba aktiviti rekreasi sepanjang pelayaran seperti kolam enam gelongsor, zip lines, rock climbing dan banyak lagi untuk seisi keluarga.
Pembelian pakej percutian pelayaran tiga hari dua malam ke Melaka termasuk tiket persembahan yang bermula pada harga RM899 boleh ditempah menerusi www.rwcruises.com