KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa Lembaga Disiplin Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi amaran tegas kepada mahasiswa agar tidak terlibat dalam Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah.
Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone Kurum berkata, sebagai institusi pendidikan, UMS perlu memastikan pelajarnya fokus kepada akademik dan aktiviti yang membina dan bukannya terlibat dalam aktiviti berisiko yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Katanya, penganjuran Perhimpunan Aman yang akan diadakan di Menara Kinabalu pada 31 Disember ini dikhuatiri mencetuskan insiden yang boleh menjejaskan keselamatan peserta dan orang awam.
Perhimpunan sebegitu juga akan mengganggu keselesaan masyarakat dan pelancong terutamanya ketika musim cuti akhir tahun. Malah, ia boleh menjejaskan imej negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan yang aman dan harmoni.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa PDRM untuk membatalkan permit perhimpunan aman tersebut demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“Biarpun kami menghormati hak kebebasan pelajar untuk menganjurkan perhimpunan aman sebegitu namun, kami percaya isu sebegitu boleh disuarakan melalui sesi dialog dan perbincangan yang konstruktif bersama pihak berkaitan.
“Segala tuduhan berkaitan kes rasuah perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman untuk siasatan secara telus. Proses undang-undang memerlukan masa bagi memastikan setiap pihak mendapat keadilan,” katanya.
Jonnybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid berkata, pelajar harus berhati-hati agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan dalam politik.
Sebelum ini, dua kumpulan merancang mengadakan perhimpunan aman di depan Menara Kinabalu pada 31 Disember ini. Ia melibatkan kumpulan Suara Mahasiswa UMS yang akan mengadakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Kuasa Rakyat (G57) yang akan mengadakan Himpunan Bangkit Sabahan sebagai tanda sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. – UTUSAN