Benteng takungan pecah: Pemaju didesak tutup kolam

Benteng takungan pecah: Pemaju didesak tutup kolam

KEADAAN kolam takungan air berhampiran Taman Seri Alam, Saujana Utama yang pecah menyebabkan limpahan air keluar ke kawasan kediaman penduduk. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Penduduk Taman Seri Alam, di sini mendesak pemaju menutup kolam takungan air berhampiran kawasan perumahan mereka selepas benteng kolam itu pecah, menyebabkan banjir yang menjejaskan hampir 200 rumah, semalam.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Sazali Basran berkata, insiden itu bukan kali pertama berlaku kerana kejadian sama pernah terjadi kira-kira 10 tahun lalu.

“Pada 19 Oktober lalu, penduduk mengadu apabila kolam tersebut mula menunjukkan tanda-tanda retak dan air memancut keluar dari dinding takungan.

“Namun, tindakan pemaju hanyalah sekadar menebuk lubang pada dinding kolam kononnya untuk mengurangkan tekanan air, tanpa menyelesaikan masalah sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, semalam.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Abdul Halim Tamuri.

Menurut Sazali, pihak pemaju sebelum ini memberi jaminan bahawa kolam berkenaan tidak akan pecah selepas kerja pembaikan dilakukan.

Sementara itu, Abdul Halim menegaskan, pihaknya akan membawa isu tersebut ke mahkamah bagi menuntut ganti rugi sewajarnya daripada pemaju.

“Pemaju tidak seharusnya memandang remeh soal keselamatan penduduk.

“Kolam itu dibina terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan saya amat tidak bersetuju dengan lokasi pembinaannya,” katanya.

Beliau juga mendesak pemaju supaya bertanggungjawab penuh terhadap kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Halim memaklumkan, bahawa kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bencana kepada penduduk yang terjejas.

“Selain bantuan awal, kami juga menggesa pemaju memberikan pampasan setimpal kepada penduduk, terutamanya bagi mereka yang mengalami kerugian besar.

“Saya dimaklumkan terdapat rumah yang mengalami kerugian mencecah lebih RM50,000 melibatkan kenderaan, perabot dan barangan elektrik,” katanya.

Semalam, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang.

Benteng berkenaan pecah menyebabkan air melimpah ke seluruh taman perumahan itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya