‘Benda pun sudah basi, saya jalan terus’ - Utusan Malaysia

‘Benda pun sudah basi, saya jalan terus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Boleh dikatakan, 2024 menyaksikan tahun gelombang kontroversi terbesar telah terpalit kepada pelakon, Ruhainies yang terkait dengan isu kehancuran rumah tangga penyanyi Aliff Aziz dan Bella Astillah sebelum ini.

Sama ada sengaja atau tidak, betapa kuatnya kesan kontroversi itu, ia sehinggakan gagal meleburkan ingatan masyarakat terhadap gelaran dan sindiran ‘penyondol’ yang dilemparkan kepada Ruhainies daripada segenap penjuru hidupnya.

Namun, wanita berusia 32 tahun ini terus mempamerkan wajah yang tenang meskipun ujian yang melanda hidupnya itu cukup kuat.

Maka, meniti hari menuju ke 2025, Ruhainies sedar, tidak perlu untuk dirinya menoleh ke belakang mengenang segala yang telah terjadi.

“Nak kata kalis kecaman, saya ini pun manusia biasa sahaja. Saya tak boleh ambil semua benda itu dan simpan dalam hati sangat kerana setiap orang ada pandangan masing-masing dan mereka yang bercakap pun tak tahu perkara sebenar sampai sekarang.

“Saya pun bukannya nak menceritakan hal lama kerana benda pun sudah basi. Jadi kita jalan terus dan mulakan hidup baharu sebab nak masuk tahun baharu dah pun.

“Tak payah ungkit hal yang lalu sebab saya percaya pada masa akan datang, kebenaran akan terbongkar juga Insya-Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, kata Ruhanies, sebagai manusia biasa, sudah tentu sukar untuk dirinya melupakan apa yang telah terjadi namun pilihan yang dia ada kini adalah untuk terus melangkah ke hadapan dengan semangat yang baharu.

“Tentu, mana mungkin saya dapat lupakan sebab segala yang terjadi itu bukan hal kecil, besar juga untuk saya. Tetapi saya kena positif, tak nak ada perasaan dendam pun kerana ia akan menyekat rezeki.

“Saya nak jadi lebih bahagia sahaja, fokus kepada kehidupan sendiri dan keluarga,”katanya.

Pada masa yang sama, jelas pelakon drama Terjerat ini, dia juga kini semakin berhati-hati dalam kebanyakan perkara kerana tidak mahu terpalit dengan penyakit ain. Ia terutama dengan sebarang perkongsiannya di media sosial.

“Saya nak elak penyakit ain. Kita tak boleh tunjuk sangat kita punya kebahagiaan, kejayaan di media sosial. Ini bukan pesanan pada orang sahaja tetapi untuk diri sendiri. Sebelum ini pun ramai orang pesan pada saya tentang hal ini.

“Tetapi saya yang tidak mengendahkan hal itu dan ambil benda itu ringan. Sampailah terjadinya macam-macam hal pada diri saya dan ya ia bukan hal kecil. Sebab itu saya hati-hati dan tak mahu menunjuk sangat,”ujarnya.

Berikutan itu, Ruhainies juga mengakui apa yang dikongsikan di media sosial juga telah dihadkan dengan tidak lagi galak mempamerkan sebarang perkara semata-mata ingin meraih tanda suka daripada orang ramai.

Akui anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, pada waktu ini, apa yang disajikan di media sosialnya hanyalah lima peratus daripada kehidupan sebenarnya sehari-hari.

“Saya lebih berhati-hati dan privasi, rasanya lebih baik begitu sebab orang tak boleh nak ‘bunuh’ kebahagiaan kita. Dulu saya mungkin selalu teruja nak kongsi apa yang saya buat, apa yang kita raih dalam kehidupan.

“Tetapi bila sudah semakin dewasa ini, saya rasa ada perkara lebih baik kita simpan sahaja untuk diri sendiri. Saya baru sedar bahawa ‘oversharing’ hanya akan membawa keburukan berbanding kebaikan,”katanya.

Dalam pada itu, ditanya pandangannya apabila digelar artis nombor satu berada dalam carta selebriti paling kontroversi, Ruhainies melihatnya sebagai satu perkara yang tidak bermanfaat.

Tidak suka dengan gelaran yang diberikan, Ruhainies bagaimanapun enggan terlalu peduli dengan cakap-cakap negatif orang.

“Tentulah saya tak gembira sebab sepanjang 10 tahun berada dalam industri seni saya sangat menjaga reputasi. Setakat gosip-gosip cinta itu saya tak boleh lari,tetapi jika isunya seperti ini (ditangkap khalwat dan kontroversi rumah tangga Bella-Aliff), ia bukan sesuatu yang membanggakan.

“Sememangnya ia dugaan, saya juga sedar kita tak boleh nak harapkan pelangi sahaja dalam hidup ini. Saya yang kena beringat selepas ini,”katanya.

Selain itu, Ruhainies juga sedar pergaulannya juga harus dibatasi kini atas dasar waspada.

“Saya nak cakap lebih pun bimbang tersalah bual. Apa yang boleh dikatakan, 2024 ini banyak mengajar saya. Selama ini saya selalu anggap semua orang baik, semua orang sayang kita.

“Bila ada dugaan macam ini baru kita akan sedar yang ada sahaja orang yang mengambil kesempatan pada diri kita dan sebagainya. Bila jadi kontroversi, semua menjauhkan diri.

“Waktu kita kat atas semua datang. Namun saya tahu bukan saya sahaja yang alami. Ia lumrah dunia dan manusia,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya