Beku akaun: Bersatu timbang saman SPRM, bank

Beku akaun: Bersatu timbang saman SPRM, bank

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bank, susulan pembekuan akaun parti itu sehingga kini.

Bersatu mendakwa, pembekuan akaun itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang dan Perlembagaan memandangkan parti tersebut tidak melakukan sebarang jenayah. 

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini, Bersatu sedang membincangkan perkara itu dengan pasukan peguamnya selepas SPRM mengarahkan bank untuk tidak membenarkan sebarang transaksi dijalankan.

Pada masa sama, beliau berkata, Bersatu juga tidak dibenarkan untuk membuka akaun baharu.

“Ini (tindakan) zalim, ia tidak adil. Jadi saya dah bincang dan minta peguam teliti seboleh mungkin untuk mengambil tindakan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan bank,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-7 di sini, hari ini.

Pada Januari 2023, SPRM membekukan dua akaun milik Bersatu susulan siasatan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion berkaitan pelbagai pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19.

Pada Disember 2022, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, pembekuan akaun Bersatu melebihi 12 bulan tanpa sebarang tindakan dikenakan adalah satu kesalahan undang-undang dan menyalahi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selepas diberi taklimat oleh peguam parti, tuntutan untuk mengaktifkan semula akaun bank itu adalah wajar berdasarkan undang-undang.

“Tuntutan kita untuk akaun itu diserah semula dan diaktifkan adalah wajar. Berdasarkan undang-undang mereka hanya boleh menahan dalam tempoh 12 bulan, tetapi selepas 12 bulan ia masih dibekukan.

“Kita berpendapat bahawa ini tindakan menyalahi undang-undang malah dilihat sebagai salah guna kuasa. Ia tidak seharusnya dilakukan oleh siapa pun termasuk SPRM,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Bersatu tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan malah tidak pernah dituduh di mahkamah, justeru tuntutan pihaknya untuk mengaktifkan semula akaun bank parti adalah wajar.

“Soal saya (kes mahkamah) lain, Bersatu adalah organisasi dan sebagai pertubuhan politik yang besar, bagaimana kami mahu hidup kalau kerajaan bertindak seperti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya