KUALA LUMPUR: Seorang bekas penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dengan menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat, awal tahun lalu.
Bekas jururawat, Mahirah Mohd. Yusof, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aina Azahra Ariffin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat menipu Jay Letchumy Naidul Nagaratanam, 38, dengan menawarkan seorang bayi untuk dijadikan anak angkat sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM15,950 dalam beberapa transaksi.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 20 Januari dan 7 Jun lalu di Jalan Ambong Kiri 2, Kepong Barudi sini.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.
Bagaimanapun, peguam bela, Faris Ezani yang mewakili tertuduh memohon pengurangan jumlah wang jamin atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.
“Tertuduh perlu menanggung empat orang anak yang masih kecil dan bapanya yang menghidap penyakit kencing manis serta anemia. Dia juga bertanggungjawab untuk membawa bapanya mendapatkan rawatan berkala di hospital. Dimohon mahkamah mengenakan jaminan yang paling minimum terhadap tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,500 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 13 Februari hadapan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN