KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengawal keselamatan menerima ganti rugi RM1.8 juta selepas Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan lelaki itu mengalami kecederaan kekal pada otaknya ketika menjalani rawatan susulan kemalangan jalan raya, lapan tahun lalu.
Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin memutuskan demikian selepas plaintif, P. Thinnagaran, 28, berjaya membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Ini merupakan kes tragik yang mana kecederaan kekal dan lain-lain (komplikasi) yang berlaku pada plaintif boleh dielakkan sekiranya defendan menjalankan diagnosis, merawat dan mengawasi plaintif dengan lebih teliti selepas dimasukkan ke Hospital Taiping selepas kemalangan jalan raya pada 2 Januari 2016.
“Selepas mendengar segala keterangan dalam perbicaraan penuh, mahkamah mendapati plaintif telah berjaya membuktikan kesnya melalui imbangan kebarangkalian dan membenarkan sebahagian besar tuntutannya,” kata hakim terbabit dalam keputusan yang dibuat pada 4 Julai lalu. Penghakiman penuh kes itu dikeluarkan pada 24 Disember lalu.
Sekitar Oktober 2019, Thinnagaran memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Taiping dengan menamakan kerajaan, Pengarah Hospital Taiping dan tiga doktor sebagai defendan atas kecuaian perubatan.
Menurut penghakimannya, Hakim Noor Ruwena berkata kecederaan yang dialami plaintif sewaktu berada di hospital jelas menunjukkan pelanggaran tanggungjawab penjagaan oleh defendan.
Selain itu, mahkamah mendapati, tiga doktor yang merawat plaintif gagal dalam memberikan rawatan dan diagnosis berhubung Sindrom Embolisme Lemak (FES) yang kemudiannya menyebabkan pengawal keselamatan itu diintubasi bagi menyelamatkan nyawanya.
“Kecederaan yang dialami plaintif adalah hasil daripada pelanggaran tanggungjawab oleh kesemua defendan yang turut mengakibatkan trauma pada mental. Kesihatan mentalnya terganggu ekoran terdaptnya kecacatan kognitif. Plaintif merasa tertekan kerana tidak boleh menjadi seperti dirinya (sebelum kemalangan) dan perlu bergantung kepada orang lain dalam dalam menguruskan diri.
“Plaintif merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM800 sebulan dan disebabkan kecacatan yang dialaminya, dia tidak lagi boleh bekerja,” kata hakim itu.
Thinnagaran cedera dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika menunggang motosikalnya di sepanjang Jalan Transkrian pada 1.05 tengah hari, 2 Januari 2016.
Dia dibawa ke Hospital Taiping yang mana langkah-langkah sewajarnya telah diambil bagi mencegah berlakunya Sindrom Embolisme Lemak (FES) akibat beberapa tulang panjang patah ekoran kemalangan itu.
FES ialah satu keadaan yang boleh mengancam nyawa yang mana zarah lemak kecil daripada tulang patah atau kecederaan masuk ke dalam aliran darah dan menyebabkan masalah pernafasan, kekeliruan dan bintik merah kecil pada kulit.
Plaintif mendakwa keadaannya tidak dipantau antara 2 pagi dan 6.50 pagi (3 Januari 2016) walaupun berisiko tinggi FES yang kemudiannya berlaku pada pukul 7 pagi. Doktor memutuskan untuk menstabilkan keadaan Thinnagaran sebelum melakukan pembedahan pada pukul 8 malam, hari yang sama.
Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendedahkan Thinnagaran mengalami kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah selama 12 jam.
“Otak plaintif telah mengalami kekurangan oksigen yang teruk iaitu lebih daripada 12 jam sementara kesemua defendan menunggu untuk menstabilkannya. Keputusan itu, malangnya, telah menyebabkan kecederaan kekal pada otak plaintif menyebabkan plaintif kini berada dalam keadaan separuh lumpuh,” katanya.
Mahkamah memerintahkan agar jumlah ganti rugi itu dibayar kepada firma guaman yang mewakili plaintif sebagai pemegang amanah. Kesemua defendan telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu pada 2 Ogos lalu.