PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan nasyid Raihan, Nordin Jaafar, disahkan meninggal dunia pada Sabtu.
Nordin menghembuskan nafas yang terakhir pada usia 45 tahun di kediamannya di Hulu Yam Bharu, Batang Kali, Selangor.
Perkara itu disahkan pengurus kumpulan nasyid In-Team, Mohd Shahrulhikmi ketika dihubungi Utusan Malaysia.
“Sebelum ini, arwah menghidapi kencing manis dan sakit buah pinggang.
“Sakit tersebut turut menjejaskan penglihatannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jenazah disempurnakan di Masjid Al Falah Ulu Yam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kaloi selepas
solat Zohor.
Rakan artis penyanyi, Fitri Haris turut berduka cita menerima khabar pemergian Nordin.
“Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah kepada Almarhum Nordin, moga bersama para solihin. Kami pasti menyusul bertemu-Nya,” tulisnya di Instagram.
Sepanjang hayatnya, selain menganggotai kumpulan nasyid Alarm Me, Nordin pernah menjadi vokalis Raihan menggantikan Nazrey Johani.
Arwah turut terlibat dalam penghasilan album Tawakal pada 2006. -UTUSAN