KUANTAN: Bekalan ikan di negeri ini mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 5 November lalu sehingga Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, jaminan itu diberikan berdasarkan kepada jumlah data pendaratan ikan di negeri ini tahun lalu.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 136,853 tan metrik pengeluaran ikan meliputi tangkapan laut, akuakultur dan perikanan darat sungai dikeluarkan melibatkan nilai berjumlah RM1.32 bilion.
“Ia sekali gus menunjukkan Pahang sudah menghasilkan pengeluaran atau pendaratan ikan yang lebih sehingga boleh dipasarkan keluar dari negeri ini, membabitkan kira-kira 5,071.92 tan metrik sebulan.
“Ia adalah peningkatan kira-kira enam peratus daripada sudut kuantiti dan 15 peratus daripada sudut nilai berbanding tahun 2022 iaitu 129,522 tan metrik yang bernilai RM1.15 bilion. Ia adalah yang tertinggi di Pantai Timur sekali gus mengekalkan status Pahang sebagai peneraju perikanan di Pantai Timur.
“Pendaratan atau pengeluaran perikanan tangkapan laut bagi 2023 (menyumbang) RM910 juta, akuakultur sebanyak RM354 juta dan perikanan darat adalah RM53.5 juta,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Johari Hussain (BN-Tioman) berkaitan status bekalan ikan di Pahang pada masa ini berikutan musim MTL pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini.
Mohd. Soffi dalam pada itu berkata, beberapa tindakan segera sudah pun diambil menerusi Jabatan Perikanan negeri dalam membantu pengusaha ternakan ikan sangkar Sungai Pahang khususnya yang terkesan banjir.
“Antaranya melakukan hebahan lebih awal melalui notis dan surat sejak Oktober supaya mereka lebih bersedia menghadapi MTL dan kemungkinan banjir, meminta pengusaha dan penternak memeriksa serta mengikat sangkar dengan kukuh.
“Nelayan dicadangkan merancang dan menjual ikan bersesuaian saiz pasaran sebelum musim tengkujuh dan melaporkan Pejabat Perikanan Daerah jika terkesan dengan bencana mengikut prosedur seperti laporan polis supaya bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dapat disalurkan apabila musim MTL telah berlalu,” katanya.-UTUSAN