LUMUT: Seorang bayi lelaki ditemukan di kawasan semak di belakang sebuah surau di Kampung Permatang dekat Sitiawan di sini semalam.
Bayi yang ditinggalkan berbalut dengan kain itu ditemukan oleh seorang ahli jawatankuasa surau yang membersihkan kawasan itu sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan telefon mengenai penemuan bayi itu pada pukul 6.54 petang semalam.
“Siasatan polis mendapati bayi lelaki tersebut ditinggalkan di dalam semak dan berbalut dengan kain,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bayi tersebut dijumpai oleh salah seorang ahli jawatankuasa surau tersebut yang mahu membersihkan persekitaran surau itu sebelum mendengar bunyi tangisan bayi itu.
Jelasnya, bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan polis sedang menyiasat untuk mengesan ibu bayi tersebut.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240392 atau menerusi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 dan ‘hotline’ whatsapp 014-6828005.
Penemuan bayi tersebut turut tular dalam media sosial sehingga mendapat ribuan komen yang mendoakan kesejahteraan bayi tersebut dan mengecam pelaku perbuatan itu. – UTUSAN