PUTRAJAYA: Jemaah Menteri mencadangkan kepada Peguam Negara untuk menyahklasifikasikan laporan akhir Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan Kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Ini adalah dua dokumen yang berbeza, yang telah dibentangkan dalam Parlimen adalah laporan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) Batu Putih dan dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan (iaitu) Pasukan Petugas Khas Batu Puteh,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Pada 29 Oktober 2021, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.
Pasukan itu ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, laporan akhir tersebut adalah berkisar mengenai hasil siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 29 Oktober 2021 dan laporan akhir telah dibentang kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022.
Jelas Fahmi, tugasan laporan tersebut telah dimulakan sewaktu zaman pemerintahan Perdana Menteri ke-9 iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ahli Parlimen Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), ahli Parlimen Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan ahli Parlimen Putrajaya (Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin) adalah di kalangan ahli Jemaah Menteri pada ketika itu.
“Dan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa hasil laporan bagi pasukan petugas khas adalah sama dengan syor yang telah dikemukakan dalam RCI Batu Putih, bermaksud dari satu sudut kedua-dua mendapati perkara yang sama.
“Laporan pasukan petugas khas telah mengesyorkan agar ada pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam, dan ini lah juga apa yang telah disyorkan oleh laporan RCI.
“Jadi untuk Kota Bharu, Larut, Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyorkan oleh RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sendiri telah baca sewaktu mereka berada dalam Jemaah Menteri, ini adalah satu perkara yang cukup mengganjilkan,” ujarnya.
Tambah Fahmi, nyahklasifikasi dokumen berkenaan adalah bersifat penuh kecuali bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan isu-isu diplomasi, isu keselamatan dan pertahanan negara. – UTUSAN