PETALING JAYA: Bas di bawah program pemasangan tempatan (CKD) bakal diwajibkan melakukan pemasangan peranti penghad kelajuan mulai 1 Januari 2026 melalui Prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).
Keputusan itu dibuat bertujuan meningkatkan pematuhan had laju dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan kenderaan komersil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif menambahbaik berkaitan isu keselamatan jalan raya dan kesesakan lalu lintas adalah satu usaha dalam mempersiapkan Malaysia memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) hari ini, turut meluluskan peruntukan sebanyak RM463 juta seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025, digunakan untuk pelbagai inisiatif menambahbaik perkhidmatan pengangkutan awam.
“Fokus utama adalah menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang dan bandar-bandar utama.
“Antaranya, Prasarana Malaysia Berhad telah memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) sejak Jun 2024 untuk meningkatkan kesalinghubungan awal dan akhir perjalanan.
“Setakat ini dengan 20 van yang beroperasi, masa menunggu pelanggan telah berjaya dikurangkan daripada 40 minit kepada 13 minit,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JKMKKJR berkata, antara inisiatif lain adalah pelaksanaan Lorong Khas Bas sejak 3 Julai 2023 di Jalan Ampang, Jalan Genting Klang, dan Jalan Klang Lama telah meningkatkan jumlah penumpang harian, memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan kelajuan komersil.
“Kejayaan ini telah mendorong pelaksanaan lorong khas bas diperluaskan ke laluan baharu di Lembah Klang serta di Georgetown, Pulau Pinang mulai November 2024.
“Ini termasuk RM10 juta diperuntukkan bagi perluasan lorong khas bas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras, dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer,” katanya.
Beliau turut berkongsikan statistik terbaharu melibatkan kes kematian akibat nahas jalan raya yang mencatatkan sebanyak 5,939 kematian setakat November lalu.
Katanya, purata 18 kematian sehari dicatatkan dengan sebanyak 4,014 kes membabitkan pengguna motosikal.
“Penyebab utama kemalangan maut antaranya adalah kecuaian sendiri (1,667 kes maut); cuai keluar/masuk simpang jalan susur (690 kes); diikuti cuai memotong atau menukar laluan (525 kes) dan leka/berangan/mengantuk (419 kes).
“Data ini menyerlahkan lagi kepentingan penguatkuasaan undang-undang dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya. Kerajaan juga memberi perhatian serius kepada trend kemalangan yang meningkat berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah,” katanya. – UTUSAN