JOHOR BAHRU: Gara-gara tidak diberi laluan untuk menukar lorong, seorang lelaki bertindak ‘gila’ merosakkan kereta seorang wanita warga Taiwan dalam kejadian di Jalan Pantai, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya telah menerima laporan polis dibuat mangsa berumur 35 tahun berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 1.53 pagi itu.
“Hasil siasatan yang dijalankan, suspek lelaki berusia 38 tahun itu telah ditangkap di kawasan Bukit Senyum, di sini, Isnin lalu.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu video pendek di media sosial video yang memaparkan perbuatan khianat lelaki terbabit yang berdiri di cermin hadapan kereta wanita berkenaan.
Dalam video berdurasi 10 saat, kelihatan suspek yang berdiri dan menghentak kaki di cermin dan bonet hadapan kereta mangsa, yang kedengaran menjerit ketakutan.
Menurut Raub, kereta mangsa mengalami kerosakan pada pintu hadapan, bonet hadapan, bumbung, cermin sisi, dan cermin hadapan.
Katanya, siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku disebabkan suspek tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang enggan memberi laluan untuk suspek menukar lorong.
“Suspek kini direman selama enam hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video tersebut bagi mengundang spekulasi. Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke Hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 072182323,” katanya. – UTUSAN