Bapa kesal bayi sering diserang sawan, dakwa hospital cuai

Bapa kesal bayi sering diserang sawan, dakwa hospital cuai

MUHAMMAD Syarifuddin Manan (tengah) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan bayinya di Ibu Pejabat Polis  Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/ KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa melahirkan rasa terkilan dengan mendakwa kecuaian pengurusan sebuah hospital di sini menyebabkan bayinya terjatuh ketika baru berusia dua hari.

Muhammad Syarifuddin Manan, 24, mendakwa, insiden pada 17 November lalu itu menyebabkan bayinya yang kini berusia 41 hari sering mengalami sawan.

Dakwanya, bayi tersebut terjatuh dari katil bayi ketika ingin dipindahkan ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan jaundis.

Katanya, bayi perempuannya dilahirkan normal dengan berat 3.3 kilogram (kg) namun setelah terjatuh, kesihatannya sering terganggu akibat kecederaan di bahagian kepala.

“Selepas insiden itu, bayi saya sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat sawan. Paling saya risaukan adalah risiko tahap kesihatannya terganggu pada masa akan datang akibat terjatuh dalam usia terlalu muda (berusia dua hari).

“Saya membuat laporan polis untuk memastikan anak saya mendapat keadilan dan berharap insiden seumpama ini tidak berlaku kepada anak orang lain pula pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala  Terengganu di sini hari ini.

Muhammad Syarifuddin yang juga seorang peniaga berkata, dia membuat laporan polis kali pertama sejurus selepas insiden tersebut berlaku, namun kecewa kerana belum menerima maklum balas sewajarnya dari pihak berkaitan.

 “Selepas laporan pertama dibuat pada 17 November lalu, saya dan isteri ada berjumpa  dengan pihak hospital dan mereka memberi penjelasan bagaimana  kejadian itu berlaku. 

“Namun, saya tidak berpuas hati kerana mahu lihat insiden tersebut dengan lebih jelas melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak dibenarkan pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Hazwan Hamidun yang menemani Muhammad Syarifuddin berharap pengurusan hospital memberi penjelasan lengkap dalam tempoh 14 hari.

“Selepas ini, dimaklumkan akan ada satu lagi perjumpaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk penyelesaian. Kalau tiada apa-apa kita sedia untuk ambil tindakan sivil kepada hospital dan pelaku iaitu jururawat yang bertugas ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya