PETALING JAYA: Peruntukan bantuan yang disediakan kerajaan khususnya berkaitan Program Pembasmian Kemiskinan di negara ini diberi tanpa mengira perbezaan kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia diagihkan berdasarkan keperluan semasa seperti kadar miskin tegar yang dikenalpasti dalam sesebuah lokaliti.
Katanya, beliau menepis polemik sesetengah pihak yang mendakwa Kerajaan Perpaduan menafikan hak kaum tertentu termasuk dari segi jumlah pengagihan bantuan membasmi kemiskinan di samping mahu menghentikan pemprofilan kaum.
“Apa yang penting bagi saya pertama adalah tangani kemiskinan tanpa membezakan kaum. Kedua, kita perlu lepaskan daripada pemprofiling perkauman. Saya di Tambun semalam, ada pihak yang datang mohon duit, bina sekolah. Di Perlis pula, ada cakap kami tidak ada apa-apa sampai dakwa kamu (kerajaan pusat) zalim, anaktirikan negeri kami. Saya rasa ini tidak betul.
“Kepada kaum Melayu, India dan Cina, kalau tidak sedar lagi, memang kita ada dalam masalah. Kerana keseluruhan naratif pembangkang adalah orang Melayu sekarang terancam, India terancam, India terancam, Sabah dan Sarawak terancam. Itu semua tak betul.
“Saya tidak tokok tambah tapi memang dalam Kabinet kami ada bincang hal ini. Kita ada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kita ada TEKUN, malah KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi umumkan banyak (inisiatif) mencecah ratusan juta ringgit,” katanya pada sidang akhbar bersama pengarang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berkaitan dakwaan kononnya pengurangan bantuan kaum India dalam belanjawan 2025 tidak mencukupi dan memerlukan perhatian serta tindakan khusus.
Menurut Anwar, jika isu perkauman dikaitkan maka segala permasalahan tidak akan selesai apabila kumpulan tertentu mendakwa mereka dinafikan hak termasuk daripada pengagihan bantuan.
Sebaliknya, kata beliau, kerajaan Madani tiada kompromi untuk membasmi kemiskinan tegar tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina mahupun India.
“Sebab itu, saya tidak bersetuju dengan pemprofilan perkauman. Jika anda lihat dasar saya sejak dulu lagi, Ketika saya di ABIM, saya menentang Dasar Ekonomi Baharu dari sudut penekanan ‘racial profiling’,” katanya.
Anwar menegaskan, Kerajaan Persekutuan sentiasa adil dalam menyalurkan peruntukan kepada negeri yang terkesan akibat bencana termasuk negeri ditadbir pakatan pembangkang sekali pun.
Beliau berkata, kerajaan Pusat turut menambah peruntukan kepada negeri berkenaan bagi memastikan isu yang diberi perhatian dapat ditangani sebaik mungkin di samping membantu melangsaikan hutang projek dijalankan kerajaan negeri, termasuk beberapa pembayaran tertangguh dan berjadual kepada kontraktor.
“Untuk memberikan penjelasan lanjut, peruntukan kita untuk negeri yang terkesan termasuk negeri yang pembangkang, kadang-kadang dalam naratif mereka di bawah itu seolah-olah Kelantan dan Terengganu tidak ada peruntukan, peruntukan tidak cukup atau masalah wang ihsan (daripada Kerajaan Pusat).
“Umpamanya Kedah, ada peningkatan daripada RM523.86 juta pada 2024 kepada 532.07 juta untuk 2025. Sebab itu saya rasa pembentangan angka-angka ini bukti untuk kita matikan matikan naratif yang saya fikir berbaur isu politik kerana itu isu pilihan raya.
Selain pemberian kepada negeri berkenaan, Perdana Menteri mendedahkan yang jumlah peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan untuk empat negeri ditadbir parti pembangkang juga meningkat. – UTUSAN