PASIR SALAK: Kritikan dan bantahan terhadap hukuman sebat yang dilaksanakan terhadap seorang lelaki pesalah khalwat di Terengganu pada Jumaat lalu disebabkan masyarakat sudah lama terpisah dengan hukuman dan sistem Islam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana sudah beratus tahun hukum Islam ini tidak dilaksanakan di seluruh dunia.
Menurutnya, sebab itu apabila Pas hendak membawa hukum Islam, ia dibantah termasuk oleh umat Islam sendiri.
“Kenapa ini berlaku? (bantahan terhadap hukuman sebat). Kerana beratus tahun kita terpisah dengan hukum, peraturan, sistem Islam. Apabila kita hendak bawa sistem Islam, orang Islam sendiri tidak setuju, bantah, (orang) bukan Islam lagilah.
“Bayangkan beratus tahun hukum Islam ini tidak dilaksanakan di seluruh dunia,” katanya pada ceramah sempena Sambutan Jubli Intan Pas Kawasan Pasir Salak di Markas Pas Kawasan Pasir Salak di sini semalam.
Menurutnya, pihak yang membantah hukuman sebat terhadap lelaki atas kesalahan khalwat berulang di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu tidak serius untuk menangani masalah jenayah.
Beliau berkata, sedangkan jenayah ibarat penyakit yang memerlukan hukuman sebagai mekanisme untuk mendidik masyarakat.
“Penyakit (jenayah) ini memerlukan hukuman dalam bentuk sebatan, rejam, baling batu,” katanya.
Katanya, hukuman sebat yang dijalankan terhadap lelaki tersebut kali pertama hukuman sebat dijalankan dikhalayak ramai meskipun dihadkan kepada 60 hingga 70 orang sahaja.
Katanya, sedangkan jika mengikut hukum hudud, hukum rejam hendaklah disaksikan oleh orang ramai.
“Namun pelaksanaan hukuman yang dilaksanakan pada Jumaat lalu dilakukan di luar penjara termasuk hukum takzir kerana takzir adalah bidang bidang kuasa hakim. Hakim buat keputusan berdasarkan bidang kuasa yang ada pada dia,” katanya.
Katanya, hukuman sebat terhadap lelaki yang merupakan pesalah khalwat dilakukan kerana kesalahan berulang sebanyak tiga kali manakala pelaksanaan hukuman dilakukan dua minit selepas doktor perubatan bersetuju pelaksanaan hukuman itu tanpa mencederakan kulit bukan seperti rotan dalam penjara sampai tercabut kulit, dan pengsan.
“Itulah yang kita alami kalau pesakit dipotong kaki tiada orang complaint tapi hukum Tuhan yang Allah perintahkan, ramai yang complaint,” katanya. – UTUSAN