PETALING JAYA: Pihak atau individu yang tidak bersetuju pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai hanya membantah kepada keputusan pemerintah dan bukannya terhadap ajaran Islam.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, disebabkan itu jangan ada pihak yang menganggap mereka yang tidak mahu pelaksanaan hukuman itu sama seperti tidak bersetuju dengan Islam.
“Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai. Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggah dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
“Maka, menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan Rasul-Nya, ia hanyalah pilihan penguasa semata. Di bawah takzir yang juga ijtihad pemerintah berkemungkinan salah dan betul.
“Maka, membantah hukuman itu hanyalah membantah keputusan pemerintah, bukan membantah ajaran Islam. Jangan ada yang terlebih lajak menganggap orang tidak bersetuju dengan hukuman itu tidak bersetuju dengan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan dan pelaksanaan sebat dilakukan di luar penjara memandangkan ia adalah kesalahan ketiga dilakukan lelaki berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai hukuman sebat itu, Mohd. Asri berkata, hukuman sebat tanpa mencederakan penzina memang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah namun ia dilaksanakan dengan syarat dan peraturan yang sangat ketat.
Jelasnya, kes itu hendaklah disaksikan oleh empat orang saksi yang dipercayai menyaksikan kemaluan lelaki masuk ke dalam faraj perempuan terbabit.
“Dalam kata lain, hampir mustahil untuk kita menemui pasangan berzina membiarkan empat orang saksi menonton perzinaan mereka melainkan pasangan itu memang pejuang zina secara terbuka.
“Jika tidak, kes zina hanya boleh sabit dengan pengakuan yang berterusan oleh pelaku zina meminta dia dihukum sedangkan pihak mahkamah pula berusaha mengelakkan hukuman.
“Adapun qarinah (kaitan bukti) zina, itu banyak jalan keluar supaya tidak dihukum,” katanya.
Tambahnya, agama Islam disifatkan sebagai anti gosip dan tidak suka pelaksanaan hukuman zina melainkan individu itu memang penzina tegar secara terang-terangan atau individu itu benar-benar menuntut dirinya dihukum.
“Adapun penuduh orang lain zina tanpa bukti yang ditetapkan syarak, lebih mudah untuk disebat di khalayak ramai dibandingkan penzina sendiri.
“Jelas, Islam anti mulut celupar dan suka menjadikan dosa peribadi antara hamba dengan Allah semata sebagai bahan masyarakat.
“Pemerintah pula dituntut oleh Islam supaya menutup ruang dosa peribadi (agar tidak) dijadikan bahan mainan rakyat. Banyak nas Islam dalam hal itu jika hendak dibahaskan,” katanya. – UTUSAN