KUALA NERUS: Seramai 150 sukarelawan Skuad Ihsan Madani Wira Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menawarkan khidmat baik pulih barangan elektrik secara percuma kepada mangsa banjir yang terjejas di Taman Desa Tanjung Damai,di sini.
Ketua Penyelaras Skuad Ihsan Madani Wira Kesuma Zon Timur, Ts. Zamzuri Hassan berkata, dianggarkan lebih 200 barangan elektrik seperti mesin basuh, peti ais dan kipas yang rosak dihantar pendudukdi kawasan perumahan tersebut untuk dibaiki.
“Kebiasaannya, lebih 80 peratus dari barangan elektrik ini masih boleh digunakan semula selepas dibaiki. Kami berharap khidmat bakti Skuad Ihsan Madani Wira Kesuma ini dapat meringankan beban kewangan mangsa banjir,” katanya di sini hari ini.
Ketika ini, terdapat 10,000 sukarelawan skuad itu termasuk pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah seliaan kementerian itu yang terlibat dalam program baik pulih barangan elektrik pasca banjir.
Selain meringankan beban mangsa banjir, program itu juga bersifat serampang dua mata kerana dapat meningkatkan kemahiran teknikal pelajar Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu yang turut menjadi sukarelawan kali ini.
Dalam pada itu, beberapa penduduk yang ditemui bersyukur dengan pelaksanaan program tersebut kerana tidak perlu memberi barangan elektrik baharu bagi menggantikan yang rosak akibat banjir.
Muhammad Hafiz Nashrul Ahmad Hamdan, 46, berkata, banyak barangan elektrik di rumahnya rosak meskipun telah mengalihkannya ke tempat lebih tinggi.
“Air naik lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini,menyebabkan peti ais, mesin basuh serta beberapa kipas rosak,” katanya. – UTUSAN