KOTA BHARU: Kerajaan memerlukan sebanyak RM16 juta untuk membaik pulih jalan persekutuan di negeri-negeri yang rosak akibat banjir yang melanda sejak Isnin lalu.
Timbalan Menteri Kerjaya Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, anggaran awal itu melibatkan jalan runtuh, mendap dan bahu jalan rosak.
“Bagi jalan negeri pula, kita perlukan kos untuk baik pulih bagi kerosakan yang sama seperti jalan persekutuan berjumlah RM6.5 juta.
“Setakat ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan mengesan lapan kejadian tanah runtuh, dua bahu jalan rosak dan dua tanah mendap melibatkan jalan persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat di Pejabat JKR Kelantan, di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, segala maklumat diperoleh akan dilaporkan segera kepada Kementerian Kewangan serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya peruntukan dapat diberikan secepat mungkin.
Katanya, kerja baik pulih semua kerosakan terbabit perlu juga mengambil kira faktor musim tengkujuh akan melibat beberapa siri gelombang hujan dan banjir.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bencana banjir tidak mejejaskan perjalanan projek-projek berskala besar dilaksanakan JKR di negeri ni termasuk pembinaan Lebuhraya Lingakaran Tengah Utama (LTU), Kota Bharu- Kuala Krai (KB-KK) dan Kuala Krai-Gua Musang (KK-GM).
“Saya turut dimaklumkan tidak berlaku gangguan kepada pelaksanaan projek-projek persekutuan seperti sekolah, pusat kesihatan, bina jalan serta jambatan, balai polis dan juga Kompleks Sukan Bukit Merbau yang dijangka siap pada tahun 2026,” katanya. – UTUSAN