KUBANG PASU: Impian sepasang pengantin baharu untuk bersanding selepas selamat dinikahkan petang semalam tidak kesampaian apabila inap desa disewa mereka di Kampung Titi Besi, Kepala Batas turut dilanda banjir.
Oleh itu, Mohamed Khairie Mohamed Kamal, 28, dan pasangannya, Nur Izzatul Asma Mustafa, 22, memutuskan untuk mengedarkan makanan yang ditempah kepada saudara mara dan penduduk kampung serta pusat tahfiz berdekatan.
Malah, jamuan makan ala kadar yang disediakan kepada keluarga terdekat turut dipindahkan ke rumah datuk pengantin perempuan di Kampung Hutan Kandis, Alor Setar dekat sini.
Menurut Nur Izzatul Asma, rumah keluarganya di Kampung Alor Ganu turut dinaiki air dalam banjir kali ini menyebabkan mereka tiada pilihan untuk meneruskan majlis persandingan yang dirancang.
“Makanan untuk jemputan seramai 1,200 orang yang disediakan diagihkan ke rumah saudara mara, orang kampung dan pusat tahfiz kerana bimbang tidak habis. Selain itu kami turut edarkan cenderamata kepada orang ramai di kawasan sekitar.
“Sedih memang sedih kerana terpaksa melangsungkan pernikahan kelmarin diikuti majlis kenduri semalam dalam suasana banjir, namun kami reda dengan ketentuan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kata Nur Izzatul Asma, majlis tersebut dirancang sejak Mei lalu dan sudah mengedar kad jemputan selain menempah pelamin, baju pengantin, mak andam, cenderamata yang bernilai kira-kira RM20,000.
“Namun, apa yang kami hasratkan tidak kesampaian, laluan dari Pekan Kepala Batas menghala ke inap desa juga ditutup untuk kenderaan ringan berikutan paras air yang semakin meningkat,” katanya.
Tambahnya, walaupun sedih dengan apa yang berlaku, dia dan suami menganggap perkahwinan mereka itu sebagai hari bersejarah dalam hidup.
“Kami raikan perkahwinan ini dengan mengambil gambar kenangan sambil memakai baju pengantin menaiki bot serta kenderaan pacuan roda berlatar belakangkan kawasan dilanda banjir,” ujarnya. –UTUSAN