Banjir Pantai Timur belum reda

Banjir Pantai Timur belum reda

PEKARANGAN rumah penduduk dilanda banjir di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan.- UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasir Mas menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Kelantan selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka semalam.

PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Pasir Mas itu menempatkan seramai 11 mangsa banjir daripada tiga keluarga.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan berkata, bagaimanapun sehingga pukul 4 petang semalam, jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 742 orang daripada 222 keluarga berbanding 882 orang pada sebelah pagi.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir itu menurun setelah dua PPS di Machang ditutup sepenuhnya dan kesemua mangsa ini berlindung di 13 PPS membabitkan daerah di Kuala Krai, Tanah Merah serta Pasir Mas.

“Setakat ini Tanah Merah masih menjadi daerah yang membabitkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 653 orang daripada 200 keluarga berpindah ke 11 PPS.

“Manakala di Kuala Krai pula seramai 78 orang daripada19 keluarga ditempatkan di sebuah PPS,” katanya.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Terengganu masih belum reda khususnya di daerah Besut apabila masih terdapat 238 mangsa banjir di Terengganu masih berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 4 petang semalam.

Sementara itu, di Gua Musang,Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menggunakan dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menghantar sebanyak 20 metrik tan bekalan makanan kepada keluarga Orang Asli di lima buah pos pedalaman di sini, yang terjejas jalan hubungan akibat musim tengkujuh.

Bekalan makanan seperti beras, minyak masak, gula, tepung gandum dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 1,097 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di Pos Simpor, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim.

Timbalan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berka, operasi penghantaran bakul makanan di lima buah pos itu bermula semalam dan dijangka berakhir pada 4 Januari ini.

Menurut Roslina, keperluan bekalan makanan itu dapat digunakan oleh keluarga Orang Asli dalam tempoh dua minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya