PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium pembayaran balik pinjaman bagi tempoh tiga hingga enam bulan kepada usahawan yang terjejas akibat banjir.
KUSKOP dalam satu kenyataan berkata, ia bagi membantu mereka yang terkesan terutama usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan meringankan beban mereka yang tidak dapat mencari rezeki akibat bencana berkenaan.
“Dalam tempoh moratorium, mereka mempunyai masa untuk memberi fokus kepada usaha-usaha pemulihan tanpa memikirkan tekanan kewangan daripada pinjaman yang perlu dibayar.
“Usahawan yang terjejas boleh menghubungi pejabat cawangan agensi-agensi KUSKOP berhampiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan inisiatif-inisiatif banjir yang ditawarkan,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, ketika ini, misi bantuan awal KUSKOP melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah digerakkan di beberapa lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“TEKUN telah melaksanakan aktiviti penyediaan makanan kepada 1,500 orang mangsa-mangsa banjir iaitu di tiga buah PPS di Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.
“Di Kedah, penduduk kampung yang terputus bekalan air bersih turut diberi bantuan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melalui Koperasi Melayu Pulau Pinang Berhad yang telah melaksanakan bantuan khidmat masyarakat,” katanya.
Katanya, bekalan air bersih dari telaga boring milik koperasi dihantar kepada penduduk sekitar Jeneri, Kedah.
“Ia bertujuan meringankan beban penduduk dengan membekalkan air bersih setelah lebih 3 hari penduduk kampung terputus bekalan air.
“KUSKOP telah merangka pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara besar-besaran selepas banjir pulih dengan pelbagai inisiatif bantuan dan program pembersihan pasca banjir yang akan dilaksanakan oleh Skuad Ihsan MADANI KUSKOP,” katanya.-UTUSAN