KOTA BHARU: Beberapa jenis sayur mengalami kenaikan sehingga RM4 sekilogram berikutan banjir melanda Kelantan ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah pasar basah di sini mendapati, jenis sayur-sayuran yang dijual juga berkurangan.
Seorang peniaga dikenali Mek Teo, 59, berkata, kenaikan harga sayur itu disebabkan bekalan bahan mentah berkenaan sukar diperoleh.
Katanya, setiap kali banjir melanda, bekalan sayur naik sehingga RM3 setiap kilogram.
“Sebagai contoh, harga kubis dijual ketika ini RM8 untuk sekilogram berbanding RM6. Sawi pula naik sehingga RM7 berbanding RM4 atau RM5 sebelum ini.
“Tomato pula dijual RM8 berbanding sebelum RM6 untuk sekilogram. Saya mendapat bekalan sayur dari Cameron Highland dan Thailand,” katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Zulhakimi Mat Jani, 31, berkata, sayur yang dijual juga meningkat sejak dua hari lepas.
Katanya, harga sayur yang diperolehi dari Cameron Highland dan Thailand tidak berbeza termasuk lada hijau kampung yang mencecah RM20 berbanding RM16 hingga RM18 untuk sekilogram sebelum ini.
Sementara itu, seorang pengguna Alias Awang, 45, mengakui kenaikan itu memberikan kesan kepadanya.
Katanya, bagaimanapun dia memahami situasi semasa ketika ini yang menyebabkan harga bahan mentah itu meningkat.
“Bila meningkat, kita beli ikut keperluan dan kemampuan sahaja,” ujarnya.-UTUSAN