Banjir 'gugat' emosi calon SPM di Rantau Panjang

Banjir ‘gugat’ emosi calon SPM di Rantau Panjang

ANGGOTA ATM membantu memindahkan pelajar SPM yang terjejas dengan banjir untuk menduduki ujian lisan esok di Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Banjir yang sedang melanda kawasan ini sedikit sebanyak ‘menggugat’ emosi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menduduki ujian lisan esok.

Mana tidaknya, ada dalam kalangan mereka terpaksa belajar menggunakan lilin selepas bekalan elektrik dipotong selain rumah ditenggelami banjir.

Lebih mencabar, mereka terpaksa menduduki ujian lisan di sekolah berlainan sekali gus menambah ‘tekanan’.

Seorang pelajar Nur Intan Lydiana Mahrulsulam, 17, mengakui persediaannya untuk menduduki ujian lisan SPM esok terjejas memikirkan situasi banjir yang melanda ketika ini.

Katanya, sepanjang banjir melanda dia terpaksa bertemankan lilin untuk mengulang kaji pelajaran selepas bekalan elektrik diputuskan.

“Bekalan elektrik di rumah telah dipotong sejak tiga hari lalu. Jadi bila belajar dalam situasi yang tidak selesa ia memberikan kesan.

“Keluarga saya tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana rumah tinggi. Bagaimanpun, banjir kali ini menyebabkan air melimpah masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Nur Intan Lydiana memberitahu, perasaannya menjadi lebih terganggu apabila pakaian dan peralatan sekolah rosak ditenggelami banjir.

Katanya, bagaimanapun dia lega apabila kawan-kawan membantu meringankan beban.

Seorang lagi pelajar Thidta Aimart, 17, berkata, persiapan menghadapi ujian lisan yang bermula esok turut terjejas akibat banjir.

Katanya, dia akan berusaha sebaik mungkin bagi mendapat keputusan cemerlang.

“Saya berterima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu semua calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang untuk menduduki peperiksaan esok,” ujarnya.

Sementara itu Che Nur Afifah Syazliyana Che Mohd. Soleh, 17, mengakui sukar buat dirinya untuk menduduki ujian lisan SPM esok.

Katanya, ketika orang lain sedang berperang dengan banjir dia terpaksa mengulang kaji untuk menduduki peperiksaan.

“Bagaimanapun saya lega dapat belajar dengan baik bersama rakan-rakan lain di asrama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya