KOTA BHARU: Penduduk di Kuala Krai yang dijangka terjejas dengan gelombang kedua banjir diingatkan supaya berpindah lebih awal sebagai langkah keselamatan agar tidak terkepung di rumah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sudah bersiap sedia untuk digerakkan seberapa segera ke lokasi yang terjejas banjir di daerah berkenaan.
Katanya, masyarakat sekeliling perlu peka dengan cuaca ketika ini yang dinamik dan sering berubah semasa musim tengkujuh.
“Justeru, penduduk di Kuala Krai perlu mengambil langkah awal untuk berpindah atau menyelamatkan harta benda terlebih dahulu sebelum pasukan bomba sampai,” katanya pada Program Komuniti Sihat dan Santun Kasih Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina, di sini hari ini.
Sebelum itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kira-kira 30 kampung di sekitar Kuala Krai, Kelantan akan mengalami banjir bermula esok sehingga Jumaat. – UTUSAN