KEMAMAN : Empat sekeluarga berdepan detik cemas selepas terperangkap di rumah mereka yang dinaiki air di Kampung Teluk Kalong, dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3 pagi berhubung keluarga itu terperangkap di kediaman mereka yang dinaiki air lebih satu meter.
“Hujan lebat dan paras air sungai yang naik mendadak menyebabkan rumah penduduk di kawasan itu dinaiki air sejak pukul 1 pagi. Ketika air melimpah ke kediaman penduduk, mungkin ada penduduk yang sedang tidur,” katanya hari ini.
Mohd. Zailani berkata, dua anggota bomba menggunakan bot untuk membawa empat mangsa terdiri daripada dua wanita dan masing-masing seorang kanak lelaki dan perempuan keluar ke lokasi selamat. – UTUSAN