Banjir di Pahang diramal semakin buruk

Banjir di Pahang diramal semakin buruk

PENDUDUK Mukim Tembeling Tengah, Ulu Tembeling terputus hubungan apabila Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan simpang Kampung Paya Garok di Jerantut, Pahang ditenggelami air. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas Kelantan dan Terengganu, Pahang dijangka menghadapi banjir buruk dalam minggu ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) yang dikeluarkan.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan berterusan dijangka menyebabkan paras air sungai di beberapa kawasan di Pahang meningkat melebihi paras bahaya, sekali gus membawa risiko banjir.

Antara lokasi yang terlibat adalah di kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer (km) di sekitar Sungai Pahang di Jerantut antaranya di Kampung Paya Garok, Kampung Teh, Kampung Batu Embun, Kampung Jeransang dan Kampung Teluk.

“Setakat ini paras air sungai di Pahang dilihat semakin meningkat dan tidak menunjukkan trend menurun.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijadualkan, orang ramai perlu berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan banjir,” katanya.

Ketika ini masih terdapat 444 mangsa banjir di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat buah negeri setakat pukul 11 tengah hari, Jumaat.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa terlibat terdiri daripada 127 keluarga dengan Perak kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 220 mangsa daripada 68 keluarga dan ditempatkan di dua PPS dalam daerah Manjung dan Perak Tengah.

Di Johor, dua PPS dibuka yang menempatkan 85 mangsa daripada 26 keluarga dalam daerah Segamat.

Sementara di Terengganu, 80 mangsa daripada 16 keluarga kini berteduh di dua buah PPS di Kemaman.

Pahang pula merekodkan 59 mangsa daripada 17 keluarga dan ditempatkan di lima PPS dalam daerah Bera, Maran dan Temerloh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya