ALOR SETAR: Bekalan air bersih di lokasi terjejas banjir di negeri ini semakin beransur pulih setelah lapan loji rawatan air (LRA) yang terlibat beroperasi semula.
Jurucakap Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. memaklumkan, hanya LRA Jeniang Lama yang ketika ini sedang ditingkatkan kapasiti pengoperasian manakala LRA lain beroperasi pada kadar maksimum.
“Antara LRA yang sudah beroperasi penuh setakat pukul 9 pagi ini adalah LRA Sungai Limau, LRA Jeneri, LRA Bukit Pinang, LRA Nami, LRA Lubuk Merbau, LRA Jeniang Baru dan LRA Teloi Kanan.
“Manakala LRA Jeniang Lama kini pada kadar 75 peratus dan usaha untuk meningkatkan kapasiti pengoperasian LRA itu sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air terawat di kawasan terkesan adalah berbeza kerana bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Para pengguna yang terkesan dengan gangguan ini akan menerima bekalan air secara berperingkat. Malah 17 lokasi pusat agihan bantuan (PAB) masih diaktifkan sehingga kini bagi memudahkan pengguna mendapatkan air,” ujarnya.
Jumaat lalu, SADA memaklumkan terpaksa menghenti tugas kesemua LRA tersebut berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk.
Kejadian itu berpunca daripada hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan dalam daerah terjejas banjir. – UTUSAN