PETALING JAYA: Bank Rakyat menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir termasuk peniaga yang terjejas akibat banjir.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, moratorium tersebut mampu membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pelanggan yang terjejas banjir.
Menurutnya, langkah proaktif itu bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani yang bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ditanggung ketika waktu mencabar ini.
“Pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan bagi produk dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.
“Ini termasuk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i, Kad Kredit-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Shahril berkata, pelanggan yang terjejas boleh memohon bantuan itu menerusi e-mel [email protected] dengan menyertakan beberapa maklumat dan dokumen penting.
Bagi pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat yang terjejas, pelanggan boleh memohon melalui e-mel [email protected] atau menghubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880 serta mengunjungi Pusat Kad Bank Rakyat atau mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan.
Orang ramai yang ingin dapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat. – UTUSAN