KUALA NERUS : Sebanyak 99 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Terengganu terjejas akibat banjir baru-baru ini dengan anggaran kerugian RM1 juta.
Pengarah Kemas Terengganu, Dr. Faridah Mat berkata, sebahagian besar kerosakan tabika tersebut melibatkan bahagian bumbung yang diterbangkan ribut.
“Daripada 99 premis itu, kebanyakannya terletak di Besut, Hulu Terengganu, Dungun, Setiu dan sedikit di Kuala Nerus. Laporan kerosakan telah dihantar ke Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk penilaian lanjut dan proses pembaikan,” katanya pada majlis gotong royong Skuad Ihsan Madani di bawah lapan agensi KKDW di Tabika Kemas Batu Rakit, di sini hari ini.
Seramai 100 petugas dari KKDW ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan membaiki kerosakan tabika agar ia dapat digunakan seperti biasa.
Beliau berkata, buat masa sekarang, sesi pembelajaran kira-kira 2,500 murid di 99 Tabika Kemas yang terjejas masih diteruskan dan ada yang menumpang di tabika berdekatan sekiranya kerosakan yang berlaku terlalu teruk.
“Contohnya, 22 murid Tabika Batu Rakit kini menumpang di Tabika Tanjung yang terletak enam kilometer dan ini agak menyukarkan ibu bapa untuk menghantar mereka kerana kebanyakannya adalah nelayan yang menggunakan motosikal.
“Kita akan tengok jika ada keperluan untuk memindahkan lokasi tabika ini ke tempat lain yang lebih selamat dari ancaman banjir dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN