PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 98 fasiliti kesihatan awam termasuk klinik kesihatan dan hospital terjejas akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 50 daripada fasiliti itu tidak dapat beroperasi disebabkan laluan terhalang dan dinaiki air.
Selain itu, katanya, 48 buah fasiliti lain masih boleh beroperasi seperti biasa walaupun dinaiki air.
“Di Kelantan, sebanyak 30 fasiliti kesihatan awam tetap beroperasi walaupun dinaiki air manakala, 34 yang lain tidak boleh beroperasi.
“Di Terengganu pula, 17 fasiliti kesihatan awam beroperasi walaupun dinaiki air manakala, 13 yang lain tidak boleh beroperasi manakala di Kedah sebanyak tiga buah tidak boleh beroperasi,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Secara keseluruhannya 109 fasiliti kesihatan terjejas banjir membabitkan 53 adalah Klinik Desa (KD), 30 Klinik Kesihatan (KK) dan 18 adalah Klinik Pergigian (KP).
Selain itu, fasiliti berkaitan kesihatan lain yang terjejas termasuk empat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), tiga buah hospital dan sebuah fasiliti kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini tiada laporan mengenai penyakit bawaan air direkodkan di tiga negeri yang dilanda banjir itu seperti leptospirosis, keracunan makanan dan Covid-19,” katanya. – UTUSAN