PUTRAJAYA: Sebanyak 267 daripada 323 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir baru-baru ini telah kembali pulih, manakala 56 masih belum beroperasi.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, daripada 91 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) yang terkesan banjir pula, 81 daripadanya telah kembali beroperasi.
Mengulas situasi banjir semasa, Fahmi berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membentangkan situasi terkini bencana itu di beberapa negeri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Timbalan Perdana Menteri mendedahkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi pada satu-satu ketika adalah lebih daripada 150,000 orang.
“Namun, secara keseluruhan jumlah mangsa banjir melebihi 222,000 orang sejak hari pertama berlaku banjir hingga ke hari ini yang melibatkan 70,706 keluarga di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, setakat pukul 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa yang berada di 96 pusat pemindahan sementara (PPS) adalah seramai 25,599 orang.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Timbalannya, Teo Nie Ching kini dalam perjalanan ke Raub, Pahang bagi membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir serta meneliti isu-isu gangguan telekomunikasi di kawasan terjejas banjir.
“Ketika ini, 23 PPS telah dipasang dengan kemudahan internet. Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga terus berada pada tahap kesiapsiagaan bagi memastikan isu gangguan internet diatasi segera jika gelombang kedua berlaku,” katanya. – UTUSAN