KUALA NERUS : Seramai 38 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) selamat dipindahkan oleh petugas banjir universiti itu selepas rumah sewa yang didiami mereka dinaiki air, semalam.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, daripada jumlah itu, 33 orang adalah pelajar UniSZA di Kampus Gong Badak, di sini dan lima lagi penuntut di kampus Tembila, Besut.
“Sebaik sahaja menerima aduan daripada pelajar, petugas banjir UniSZA bertindak pantas membawa pelajar yang terjejas ke asrama di universiti.
“Proses pemindahan pelajar berjalan lancar dan segala bentuk bantuan juga sudah digerakkan dengan menggunakan aset milik UniSZA antaranya lori, bot, kayak serta van,” katanya hari ini.
Selain pelajar, UniSZA turut proaktif membantu 289 kakitangannya yang turut terjejas dalam bencana banjir kali ini.
Beliau berkata, UniSZA juga menyediakan bekalan barangan keperluan asas serta makanan kepada semua pelajar yang terjejas.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana UniSZA telah menyediakan barangan keperluan asas kepada semua pelajar tersebut dan makanan yang mencukupi sepanjang banjir melanda. UniSZA juga akan membantu pelajar-pelajar terjejas ini membersihkan rumah mereka sebaik sahaja banjir surut kelak,” katanya. – UTUSAN