PETALING JAYA: Selepas lima kucing dilaporkan mati didakwa dibunuh di Universiti Malaya (UM), seekor lagi bangkai anjing dan kucing ditemukan berhampiran pusat gimnasium universiti berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) menerusi satu kenyataan yang tular hari ini.
Menurutnya, penemuan itu dimaklumkan kepada Pejabat Keselamatan sebelum laporan polis dibuat berhubung insiden berkenaan.
“Saya sudah berhubung dengan Pejabat Keselamatan dan meminta mereka memperketatkan kawalan kemasukan ke kampus.
“Kami juga dalam proses untuk mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd. Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
“Masih dalam proses siasatan awal,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial penemuan dua haiwan iaitu kucing dan anjing yang dipercayai dibunuh dengan cara sama iaitu perut dibelah serta usus dikeluarkan.
Berdasarkan hantaran di media sosial, dianggarkan ada sekurang-kurangnya dua orang yang melakukan jenayah itu, supaya mereka dapat melakukannya dengan bersih dan tanpa disedari oleh sesiapa.
Hantaran itu juga mendakwa kemungkinan ubat bius juga digunakan semasa melakukan jenayah itu bagi memastikan kucing dan anjing yang dipotong serta dikerat tidak mengeluarkan bunyi.
Sebelum ini, aktivis haiwan, Shima Aris tampil mendedahkan hasil pemeriksaan terperinci oleh doktor veterinar di sebuah klinik swasta terhadap kucing kelima mati bernama Lily yang turut melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas bangkai haiwan malang berkenaan.
Sebelum Lily ditemukan mati, dua kucing lain yang keempat-empat kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah ditemukan tidak bernyawa di universiti itu.
Susulan kejadian itu, sebanyak 22 kucing liar di UM diselamatkan oleh sekumpulan sukarelawan yang prihatin dengan nasib haiwan berkenaan.- UTUSAN