BESUT : Seorang suri rumah kerugian hampir RM10,000 selepas 23 lot sarang kelulut yang diusahakannya kehilangan ‘penghuni’ ketika musim tengkujuh.
Siti Aisyah Osman, 37, yang tinggal di Kampung Padang Landak di sini berkata, daripada 30 lot sarang yang diusahakan sejak 2019, hanya tujuh yang masih mampu menjana hasil.
“Kelulut ini mati dan ada yang berpindah meninggalkan kroninya secara berperingkat sejak awal tahun lalu apabila negara kita mengalami keadaan cuaca panas yang ekstrem.
“Ketika musim tengkujuh ini juga menyebabkan kelulut tidak dapat keluar mencari makan ekoran cuaca hujan dan hanya bergantung pada jumlah madu yang ada di sarang,” katanya ketika di temui di Kampung Padang Landak dekat Jerteh di sini.
Menurut Siti Aisyah, kesukaran mencari bekalan makanan pada musim hujan menyebabkan kelulut berpotensi berpindah ke kawasan baharu dengan meninggalkan sarang yang sedia ada demi kelangsungan hidup.
Ujarnya, madu kelulut dihasilkan bermula Mac hingga November dan boleh dituai dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.
“Memasuki bulan November atau Disember, kami hentikan pengambilan madu dan baki yang ada ditinggalkan sebagai bekalan untuk serangga itu bertahan ketika musim tengkujuh.
“Setiap tahun kejadian kehilangan kelompok atau kroni kelulut ini sentiasa terjadi tetapi untuk tahun ini ia berlaku sangat ketara sehingga saya terpaksa menanggung kerugian dalam jumlah yang agak besar,” katanya.
Katanya, dia perlu mengambil masa yang panjang untuk mengumpul dan membeli kembali lot sarang sehingga menyamai jumlah sebelum ini.
“Harga bagi satu lot sarang mencecah RM350 hingga RM500 mengikut jenis kelulut,” katanya. – UTUSAN