'Bagaikan mati hidup semula'

‘Bagaikan mati hidup semula’

MUHAMMAD Ikmal Hakimi (dua dari kiri) dan Nor Hasrul Abdullah (kiri), 25, ketika dijamu makanan oleh penguatkuasa Maritim sebelum tiba di Jeti Limbongan Kapal Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dua nelayan, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan rakannya, Nor Hasrul Abdullah, 25, yang hanyut di laut selama enam hari sebelum ditemui selamat di perairan Acheh, Indonesia menyifatkan pengalaman mereka di laut bagaikan ‘mati hidup semula’.

Menceritakan semula pengalaman sepanjang hanyut di laut sehingga bot mereka sampai ke sempadan perairan Aceh, Muhammad Ikmal berkata, mereka bergantung kepada ikan mentah yang ditangkap seperti ikan kembung dan ikan cencaru selain minum air laut untuk bertahan hidup.

“Memang kami rasa macam ‘mati hidup semula’, kami berserah sahaja kepada takdir sepanjang hanyut di laut.

“Hari pertama hanyut kami makan bekal (nasi). Selepas bekal habis, kami berpuasa tidak makan selama tiga hari. Tetapi, lepas itu, kami terpaksa makan juga kerana tiada siapa menjumpai kami ketika itu.

“Saya tidak pernah makan ikan mentah sepanjang hidup. Saya muntah dua kali selepas rasa ikan mentah tetapi saya makan juga untuk bertahan di laut,” katanya ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung, di sini hari ini.

Menurut Muhammad Ikmal, mereka berdua keluar ke laut pada pukul 6 petang Isnin lalu dan terpaksa bergelut dengan ribut serta peralatan yang rosak.

“Ketika ribut semakin ganas, kami cuba menghidupkan enjin bot tetapi gagal selepas tali ‘starter’ enjin terputus. Kami terpaksa menarik tali secara manual, tetapi keadaan ombak yang kuat menyukarkan lagi usaha kami.

“Malam itu, hujan lebat menyebabkan air mula masuk ke dalam bot, dan kami terpaksa membuang pukat bagi mengimbangi bot serta mengelakkan bot karam,” katanya.

Tambahnya, selepas hari kedua mereka hanyut di laut, dia dan Nor Hasrul bergaduh sesama sendiri kerana tertekan sehingga ada di antara mereka yang terjatuh ke dalam laut.

“Hari kedua memang kami asyik bergaduh, kami pakai jaket keselamatan, jadi, bila jatuh ke dalam laut kami akan timbul semula.

“Selepas tidak larat bergaduh lagi, saya beritahu abang (Nor Hasrul), kita bergaduh pun tidak guna abang, menangis pun tidak guna, sekarang ini kita fikir mati sahajalah, kalau tengok keadaan kami ketika itu memang fikir mati sahaja,” katanya.

Tambahnya, perkara paling menakutkan sepanjang hanyut ialah mereka dibadai ribut kuat pada hari keempat di mana ketika itu mereka menjadikan pukat sebagai pelindung daripada dibasahi air laut dan hujan.

Muhammad Ikmal berkata, sepanjang hanyut di laut, mereka melihat banyak kapal-kapal kargo dan cuba memohon bantuan namun ada di antara pekerja kapal kargo yang mengacukan kayu kepada menyangka kami adalah lanun.

“Semasa kapal-kapal kargo melintas bot kecil kami, saya sangkakan kami berada di sekitar ‘Penang Port’ sahaja, saya betul-betul tidak sangka kami sudah berada di perairan luar negara,” katanya.

Muhammad Ikmal menjelaskan, penantian dan detik mencemaskan mereka berakhir pada hari keenam mereka hanyut apabila mereka diselamatkan oleh nelayan tempatan dari Aceh yang terlihat bot mereka terumbang-ambing di tengah laut.

“Memang kami bersyukur sangat ketika itu apabila nelayan Aceh menjumpai kami berdua, kami sangat gembira dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya

Dalam pada itu, Nor Hasrul berkata, kejadian itu meninggalkan trauma mendalam kepada mereka namun mereka yang masih bersemangat untuk meneruskan kerjaya mereka di laut.

“Kejadian ini pengalaman pertama bagi kami. Walaupun ombak besar biasa kami hadapi, tetapi tidak pernah seteruk ini. Kami akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN