Babak gantung, jerut leher itu real - Anna Jobling

Babak gantung, jerut leher itu real – Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecantikan rupa paras seseorang wanita sering kali dikaitkan dengan personalitinya yang ayu, lemah lembut dan tidak suka akan cabaran.

Mungkin di pandangan segelintir pihak, itulah taruhan pemilik nama Anna Jobling. Namun dia enggan meletakkan limitasi dalam kerjayanya hanya kerana dia memiliki rupa paras yang cantik dan berdarah kacukan Portugis.

Kata Anna, dia tidak gentar mencabar kemampuannya untuk menjayakan sesuatu babak demi kekal relevan dan bakatnya dihargai umum dalam industri hiburan tanah air.

Kini namanya sudah melonjak naik dalam industri perfileman Indonesia menerusi filem, Lembayung.

Kongsi Anna, dia sanggup meminta pihak produksi menjerut lehernya ketika menjayakan babak gantung diri menerusi filem tersebut.

“Babak yang saya digantung dan dijerut leher itu real. Saya memang minta mereka ketatkan jerutan itu sampai tidak boleh bernafas.

“Bila penggambaran dihentikan dan tali dilepaskan, saya boleh bernafas. Di bawah juga ada orang yang akan sambut kaki saya,” katanya.

Tambah Anna, dia sanggup melakukan aksi itu kerana percaya dengan pihak produksi filem tersebut yang bertungkus-lumus menyediakan set penggambaran itu dengan selamat.

“Saya sanggup melakukan babak tersebut dan tidak berasa takut sebab ada lebih 100 kru produksi di belakang kamera.

“Pihak produksi mengambil masa yang lama untuk bina set tersebut dengan selamat. Mereka juga sangat pakar,” jelasnya.

PECAHKAN STEREOTAIP
Ditanya mengenai penglibatannya dalam filem seram, Anna berkata dia mahu memecahkan stereotaip sesetengah pihak yang memandang dirinya hanya mampu membawa watak klise di kaca televisyen sahaja.

Mana tidaknya, sebelum ini Anna terkenal dalam menjayakan watak-watak yang mengekalkan kecantikan wajahnya terutamanya naskhah genre romantik.

“Saya terima tawaran filem ini untuk buktikan kepada semua orang bahawa saya bukan sekadar pelakon yang hanya mampu bawa watak wanita cantik, ayu, baik dan dramatik sahaja.

“Saya nak orang tahu saya juga mampu membawa watak yang berbeza. Bila membawakan watak hantu, saya tidak mahu terlihat cantik. Saya nak watak ini betul-betul jadi seperti hantu.

“Jadi, proses untuk menghidupkan watak dan menentukan penampilan dalam filem ini sangat lama,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon yang terkenal menerusi drama Melur Untuk Firdaus itu memberitahu dia tetap menjaga batas dalam lakonannya meskipun sudah berjaya memasuki pasaran perfileman Indonesia.

Sedar industri perfileman di sana lebih terbuka dalam menjayakan sesuatu babak, Anna selesa meletakkan syarat sebelum menerima sesebuah tawaran lakonan.

“Sebelum menerima sebarang tawaran, saya akan maklumkan kepada pihak produksi syarat dan batas saya untuk menjayakan sesuatu watak. Syarat itu merangkumi segala aspek terutamanya dari segi pemakaian dan babak yang boleh saya lakukan.

“Saya bersyukur produksi di sana faham budaya dan batas kita sebagai orang Malaysia. Sekiranya mereka tidak boleh terima dengan syarat yang diberikan, saya akan menolaknya,” katanya.

Selain Anna, filem seram yang mendapat sambutan hangat di negara jiran itu turut dibintangi pelakon hebat Indonesia seperti Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasem dan Oka Antara.

Filem Lembayung arahan Baim Wong itu akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 5 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN