Azry mencari identiti - Utusan Malaysia

Azry mencari identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan seorang penari hip-hop, cinta jejaka asal Johor Bahru, Azry terhadap muzik rap perlahan-lahan tumbuh. 

Dalam sebuah pertandingan tarian, Azry terpukau dengan bakat seorang juri yang boleh menari dan melakukan rap pada masa sama. Ketika itulah hati kecilnya terdetik untuk mengasah kemahiran yang ada kerana alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengannya. 

Menjadikan Joe Flizzow, Quai dan B-Heart sebagai idola, Azry mula serius merangkai kata. Lama kelamaan, seperti mozek, dia mula mencantum lirik ditulis dengan rentak yang didengar. 

“Proses saya mengenal muzik tidak susah kerana sebagai penari, saya sudah terdedah dengan pelbagai jenis muzik. Saya juga boleh menari dan berjoget dalam ‘beat’ kosong. Walaupun begitu, saya menyedari ada lirik yang seolah ‘berjalan’ dalam kepala saya. 

“Dalam kata lain, saya sudah boleh melakukan rap gaya spontan (free style), itu cara saya mendapatkan ilham,” katanya kepada Pancaindera. 

Ditanya apakah arah tuju rap yang mahu ditampilkan Azry agar berbeza dengan lambakkan rapper lain, jejaka itu tidak malu mengakui dirinya masih berjalan dan berusaha mencari identiti sebagai penyanyi. 

“Saya belum jumpa lagi identiti sebagai rapper. Setakat ini, saya masih dalam proses mencari dan menghasilkan retak sendiri. Adakalanya saya berkolaborasi dengan penyanyi lain.

“Sama juga dengan lirik, saya terus menulis. Cuma ada masanya saya minta pendapat kawan-kawan. Jika mereka rasa kurang sesuai, saya akan ubah. Jadi atau tidak lagu tersebut, saya tolak tepi dahulu. Apa yang penting, saya sudah mula menulis. 

“Namun begitu, apa yang saya boleh katakan, lagu dan lirik yang pernah saya hasilkan berkisar tentang situasi diri sendiri yang mana pendengar juga boleh rasai,” tambahnya. 

Fallin, percubaan menyelamatkan diri sendiri

Selepas menghasilkan beberapa lagu seperti Kembali, Tak Nak Terima, dan Wings, Azry kini kembali dengan taruhan terbaharunya iaitu Fallin. Liriknya kali ini lebih menghiris, menceritakan pergelutan yang ada dalam jiwa seorang anak muda.

“Ketika saya menghasilkan Fallin, ada perasaan yang memberontak dalam jiwa saya. Ada perasaan yang menghantui seolah-olah semua orang tidak menyukai kita. Ada juga saya tanya kawan-kawan terdekat, adakah mereka pernah lalui perasaan yang sama?

“Rupanya bukan hanya saya, malah ramai yang pernah merasainya. Kita seolah-olah asing, terpinggir dalam zon berbeza. Padahal, itu semua hanya ilusi kita sahaja.

“Fallin adalah lagu yang mengajak pendengar untuk cari seseorang dan luahkan apa yang kita rasa. Jangan memendam. Kerana semua persoalan jika tidak diluahkan akan menjadi tanda tanya,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri temu ramah, Azry yang juga artis rakaman Gerobok Records menanam azam berkolaborasi dengan artis hebat tanah air merentas genre, gaya dan semua ranah muzik. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya