Asrama SK Simpang Ampat lima bintang

Asrama SK Simpang Ampat lima bintang

MURID-murid mengambil kesempatan mengulang kaji di salah sebuah bilik asrama SK Simpang Ampat, Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daripada sebuah asrama desa serba kekurangan, kini bangunan tersebut umpama hotel lima bintang. Itu hasil inisiatif dan kretiviti yang dilaksanakan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat yang terletak di pinggir bandar, Arau sekali gus menarik perhatian ramai.

Ia juga sebagai salah usaha bagi meningkatkan aspek kemenjadian murid sekolah berkenaan dengan mengambil insiatif mereka bentuk semula ruangan bangunan asrama itu dengan berkonsepkan seperti sebuah hotel.

Menariknya, inisiatif yang dilaksanakan dalam tempoh singkat tersebut telah mula menunjukkan keberhasilan apabila 12 daripada 45 murid asrama sekolah berkenaan juga berjaya terpilih dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs).

Usaha tersebut dilakukan pengurusan sekolah berkenaan di bawah kendalian Guru Besar, Syagul Yuhanis Mohd Yusof dan menerusi pelaksanaan itu, beberapa kemudahan dibangunkan pihak sekolah dengan menggunakan peruntukan daripada tabung asrama bersama bimbingan daripada Jabatan Pendidikan negeri.

Bilik-bilik di tingkat bawah bangunan asrama berkenaan telah diubah suai fungsi menjadi ruangan belajar, bilik sukan, gim, bilik tarian, kafe dan bilik tetamu dengan kelengkapan televisyen serta kemudahan internet.

Selain itu, tingkat atas bangunan yang sebelum ini kosong juga telah direka bentuk semula bagi dijadikan bilik asrama murid dengan suasana dan kemudahan yang lebih kondusif bagaikan sebuah hotel lima bintang yang selesa.

 

 

 

yagul berkata, inisiatif mereka bentuk semula ruangan bangunan asrama desa itu telah dimulakan sejak Mac lalu bagi dijadikan sebagai sebuah Asrama Sukan dan Kebudayaan.

“Apabila saya berpindah ke sini, timbul cetusan idea bagi mengubah fungsi bangunan asrama ini dalam usaha untuk meningkatkan aspek kemenjadian murid maka bermula dari situlah, Jabatan Pendidikan negeri turut membantu dalam memberi panduan.
“Dan dalam tempoh enam bulan sahaja, ruangan bangunan asrama ini telah dapat direka bentuk semula dengan mencapai tahap sekitar 30 peratus setakat ini,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Syagul berkata, buat masa ini, terdapat seramai 45 murid tahap dua sekolah berkenaan terdiri dalam kalangan B40 telah ditempatkan di bangunan asrama itu.

Katanya, sebanyak lapan bilik asrama di tingkat satu telah diubah suai dengan konsepnya turut meliputi struktur pengurusan yang teratur.

“Di sini kita cuba terapkan mengenai kemenjadian murid supaya mereka lebih berdikari dalam melakukan semua perkara sendiri, namun masih di bawah pemantauan warden.

“Usaha ini juga bagi melahirkan murid yang ceria, cergas, berdisiplin di samping turut cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum,” katanya.

Dalam pada itu, Syagul berkata, sekolah berkenaan diperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi mereka bentuk semula asrama berkenaan namun perbelanjaannya tidak mencapai kos tersebut memandangkan terdapat pihak luar turut memberi sumbangan.

 

Ujarnya, selain itu, pengurusan sekolah turut menggunakan barangan kitar semula bagi melengkapkan kemudahan di asrama tersebut.

“Sejak kami mereka bentuk semula ruangan asrama ini, banyak pihak luar telah melakukan lawatan bagi melihat sendiri keadaan suasana di sini. Malah, kami turut membuka sewaan kepada kakitangan kerajaan atau wakil sekolah luar yang mempunyai urusan di negeri ini dengan caj serendah RM10,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan negeri, Che Rasaidi Che Yob berkata, SK Simpang Ampat merupakan salah sebuah sekolah di negeri ini yang dimasukkan dibawah program Sekolah Amanah Jamalullail.

Katanya, Jabatan Pendidikan negeri juga menyokong penuh usaha yang dilakukan pihak sekolah itu khususnya dalam menarik minat murid untuk menetap di asrama.
“Apabila konsep begini, kita bukan hanya harapkan murid sahaja dapat masuk duduk di asrama, namun kita mahukan mereka yang berbakat dalam sukan dan kebudayaan dapat dikumpulkan di sini,” katanya.

 

Tambahnya, Jabatan Pendidikan negeri cuba menerapkan enam elemen dalam mereka bentuk semula ruangan bangunan asrama sekolah itu meliputi Internet of Things (IoT), Sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT), agrikultur, keusahawanan, pengurusan majlis dan komunikasi.

“Jabatan Pendidikan negeri akan menyokong usaha yang dilakukan pihak sekolah atas kreativiti mereka sendiri bagi meningkatkan kemenjadian murid,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya