PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi, Zizan Razak, tidak dapat melupakan kenangannya menghadapi banjir ketika masih kecil bersama arwah atuk.
Menurut Zizan atau Mohd Razizan bin Abdul Razak, 40, ketika itu kediamannya di Terengganu ditenggelami air banjir setinggi dada.
“Saya masih kecil waktu itu. Arwah datuk yang mendukung saya mengharung banjir. Masa nak keluar rumah itu saya tengok ada biawak di belakang mesin basuh.
“Saya tak pasti barang rosak teruk, tapi saya ingat air separuh dada orang dewasa. Apa pun saya tahu musibah itu sangat-sangat beri kesan kepada sesiapa yang melaluinya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Memahami keadaan mangsa banjir yang mengalami kerugian harta benda, Zizan berusaha untuk memberikan bantuan bagi meringankan beban.
“Banjir ini satu ujian yang berat buat sesiapa yang mengalaminya. Pengalaman merasai banjir waktu kecil dulu, saya tahu ia sangat renyah dan menyusahkan. Apa-apa pun kita kena reda sebab semua ini ujian Allah.
“Saya bantu juga mana yang boleh.
“Saya tak sempat balik Terengganu kali ini, tapi saya sentiasa dapatkan perkembangan terkini dengan komuniti di sana dan mana yang saya boleh bantu, saya bantu,” katanya.