PETALING JAYA: Kadar penguatkuasaan yang sedikit ditambah dengan sikap sambil lewa terhadap keselamatan kebakaran di kalangan sesetengah syarikat yang beroperasi di zon industri mesti ditangani segera, seiring pertumbuhan Malaysia sebagai hab pembuatan dan pusat data, kata Advokasi Perusahaan dan Industri (API) hari ini.
Kenyataan kumpulan advokasi yang berdedikasi untuk melindungi pertumbuhan perniagaan dan industri ini adalahberikutan laporan berita baru-baru ini tentang sebuah syarikat multinasional yang beroperasi dengan sijil kebakaran yang telah tamat tempoh untuk dua kilang yang disewanya di Johor.
Dalam laporan yang sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) turut memberi amaran kepada syarikat-syarikat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, kerana ketidakpatuhan – khususnya berkaitan sistempemadaman kebakaran – adalah punca utama kebakaran di sebuah taman industri di Gelang Patah yang telah meragut nyawa tiga pekerja migran pada Oktober 2024.
Pengarah Urusan API, Datuk Fazli Nordin berkata, “Adalah membimbangkan apabila mengetahui bahawa sebuah syarikat multinasional seperti Flex beroperasi dengan sijil kebakaran yang telah tamat tempoh di dua kemudahan pembuatan mereka yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Zon Perindustrian Senai.”
“Ujian penilaian wajar juga telah menemui keraguan mengenai sistem pemadaman kebakaran dan pengubahsuaian yang disyaki tidak mematuhi peraturan di salah satu premis yang dioperasikan oleh Flex,” kata Fazli, merujuk kepada artikel dalam Utusan Malaysia.
Fazli menyeru pihak berkuasa berkaitan termasuk Bomba, Pihak Berkuasa Tempatan (PKT), termasuk majlis bandaraya di kawasan terbabit untuk segera menguatkuasakan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih kerana nyawa menjadi taruhan.
“Tambahan pula, sebarang insiden seperti kebakaran besar atau kemalangan industri boleh memberi kesan negatifkepada keupayaan Malaysia untuk menarik pelaburan dalamsektor pembuatan dan pusat data,” tambah beliau.
Fazli turut berkata, memandangkan jangkaanpengembangan hab industri serta pengenalan zon ekonomi khasseperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, kerajaan Malaysia perlu mempertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak dana kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan agar mereka lengkap dan bersedia untuk memastikan syarikat beroperasi mengikut peraturan.
“Kita juga memerlukan pengawasan yang lebih baik terhadap cara pemeriksaan dijalankan dan permit dikeluarkan, dan di sinilah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting,” ujar Fazli. – UTUSAN