KOTA BHARU: Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat menegaskan bahawa beliau tidak gentar menerima ancaman berikutan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram yang berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Beliau berkata, pelbagai ancaman diterimanya sebelum ini namun tidak boleh diperincikan.
“Saya akui ada menerima ancaman itu selepas penguatkuasaan larangan rentas sempadan. Apa pun langkah yang saya buat itu adalah juga sebagai jihad.
“Namun semua itu saya tidak takut atau gentar dengan ancaman tersebut dan saya tetap akan teruskan di samping membuat yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Imarah Masjid Bersama Komuniti di Masjid Raudahtul Muttaqin Kemumin, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, hasil larangan dan penguat kuasaan tersebut, kes melibatkan rentas sempadan berkurangan sehingga 90 peratus. –
Sementara itu, beliau berkata, polis Kelantan merekodkan jenayah seksual sebanyak 148 kes bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 131 kes atau 88.5 peratus adalah mangsa berusia 16 tahun ke bawah.
“Kita dapati kebanyakan kes itu adalah sama suka terutama dalam kalangan mereka yang bawah umur.
“Antara lain adalah faktor kemudahan teknologi atau penggunaan telefon bimbit termasuk melayari laman web lucah dan sekali gus boleh menjuruskan kepada kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN